KUALA KRAU: Bekas wartawan sambilan kerugian lebih RM30,000 selepas kediamannya di Kampung Sri Ketumbit di sini ditenggelami air banjir lebih dua meter.
Mangsa, Sharifuddin Mohamed, 67, berkata, banyak barangan rosak dan tidak boleh digunakan akibat terendam hampir seminggu dalam air banjir.
Katanya, paras air naik terlalu cepat berikutan hujan berterusan menyebabkan dia tidak sempat menyelamat barangan di dalam rumahnya.
“Antara barangan rosak ialah tiga buah televisyen, peti ais, mesin basuh, sofa, dua katil dan pakaian.
“Turut tenggelam sebuah kereta jenis Proton yang diletakkan dalam garaj tidak sempat dibawa keluar,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Kelab Media Pahang (KMP), Fitrah Pahang dan Felcra Kuala Krau menganjurkan gotong royong membersihkan rumah Sharifuddin hari ini.
Program itu turut disertai Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said.
Sharifuddin berkata, beliau berterima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan sumbangan termasuk KMP, Fikrah Pahang dan Felcra Kuala Krau kerana membantu membersihkan rumahnya. – UTUSAN ONLINE