KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah Semenyih Jaya Sdn. Bhd., Lau Kok Loon mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap lapan tuduhan di bawah Akta Syarikat 1965 melibatkan pengeluaran empat keping cek bernilai RM10 juta tanpa kelulusan mesyuarat agung.
Tertuduh didakwa terhadap empat tuduhan menyalahgunakan harta syarikat iaitu dengan mengeluarkan duit berjumlah RM10 juta melalui empat keping cek milik Semenyih Jaya Sdn. Bhd. di atas namanya tanpa sebarang kelulusan mesyuarat agung.
Bagi kesalahan itu, Kok Loon didakwa mengikut Seksyen 132(2)(a) akta berkenaan yang memperuntukkan penjara maksimum lima tahun penjara atau denda RM30,000.
Tertuduh turut mengaku tidak bersalah terhadap empat tuduhan menggunakan kedudukannya sebagai pengarah syarikat bagi mendapatkan suatu manfaat bagi dirinya sendiri dengan mengeluarkan empat keping cek yang sama di atas namanya tanpa persetujuan atau ratifikasi daripada mesyuarat agung.
Dia didakwa mengikut Seksyen 132(2)(c) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa.
Hakim Siti Noraida Sulaiman membenarkan jaminan sebanyak RM30,000.00 terhadap Kok Loon dengan seorang penjamin dan passport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis pada 1 haribulan setiap bulan.
Tarikh sebutan kes bagi serahan dokumen oleh pihak pendakwaan ditetapkan pada 27 Januari ini.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Mohd Zulkhairi Kamaruzaman dan Nadia Zainal Abidin manakala tertuduh diwakili oleh peguam Datuk L.M Chong.
Sementara itu, SSM dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini berhubung pendakwaan tersebut memberitahu, tindakan mahkamah itu merupakan satu peringatan kepada orang awam bahawa pengarah dan pegawai syarikat boleh didakwa sekiranya melakukan perlanggaran terhadap tugas fidusiari sebagai pengarah dan pegawai syarikat.
Menurut kenyataan itu, tindakan perundangan juga akan diambil sekiranya berlaku sebarang pelanggaran peruntukan undang-undang di bawah akta-akta yang dikawal selia oleh SSM. -UTUSAN ONLINE