PUTRAJAYA: Kerajaan memberi jaminan bahawa bekalan vaksin Covid-19 dari syarikat pengeluar antarabangsa, Pfizer BioNTech akan tiba di negara ini mengikut jadual ditetapkan
Ia disahkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba sambil beri jaminan bekalan pertama berjumlah 500,000 dos itu untuk pelaksanaan fasa pertama pelan imunisasi nasional.
“Setakat ini, segala-galanya mengikut perancangan dan tiada kelewatan penghantaran untuk Malaysia kerana isu bagi setiap negara yang mendapat vaksin itu adalah berbeza,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) 2.0 Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dekat sini hari ini.
Yang turut hadir sama ialah Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Dr. Aminuddin Hassim dan Pengarah PKRC 2.0 MAEPS, Dr. Shahabuddin Ibrahim
Dr. Adham mengulas kenyataan firma farmaseutikal berpusat di New York, Amerika Syarikat itu semalam yang melaporkan kelewatan akibat pertambahan pengeluaran bekalan tersebut.
Keadaan itu mengakibatkan banyak negara Kesatuan Eropah dijangka menerima vaksin itu sama ada akhir bulan ini atau awal bulan depan susulan masalah kelewatan penghantaran.
Menjelaskan lanjut, beliau berkata, senarai nama penerima fasa pertama vaksin itu meliputi petugas barisan hadapan terutama Kementerian Kesihatan dan semua agensi yang berkaitan.
“Mereka juga akan terima dos kedua selepas 21 hari dan pada masa sama, kita akan buka pendaftaran untuk sesiapa berminat pada fasa kedua seawal-awalnya bulan depan,” katanya.
Bagaimanapun ujar Dr. Adham, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membuat pengumuman khas mengenai isu itu pada Pelan Vaksinasi Kebangsaan juga bulan depan.
Selain bekalan dari Pfizer BioNTech, Malaysia turut menerima stok vaksin Covid-19 dari pelbagai sumber lain termasuk AstraZaneca dari Britain dan Sinovac dibangunkan China.
Menyentuh dakwaan pihak pembangkang kononnya kerajaan sudah pun memansuhkan Skim Perlindungan Nasional B40 atau MySalam, beliau menyangkal keras tohmahan liar itu.
“Ia masih wujud malahan kita buka lagi booth (reruai) di semua hospital kerajaan yang ada petugas Kementerian kewangan dan dibantu pegawai kerja sosial hospital,” katanya lagi.
Dr. Adham turut memaklumkan Dana Covid diuruskan pihak Nadma sepanjang tahun lepas menerima sumbangan masyarakat prihatin lebih RM50 juta dan ada baki sekitar RM5 juta.
Tabung itu namun menerima lagi sumbangan RM20 juta baru-baru ini daripada pelbagai pihak dan diguna untuk bantu waris kematian ahli keluarga akibat Covid-19 di seluruh negara. -UTUSAN ONLINE