SEREMBAN: Bekalan minyak masak di Negeri Sembilan mencukupi meskipun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan di dua daerah iaitu di Seremban dan Port Dickson bermula hari ini.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, berdasarkan rekod stok minyak masak sedia ada di 151 peruncit terpilih adalah sekitar 195,543 kilogram, cukup untuk menampung keperluan pengguna di Negeri Sembilan.
“Bermula 9 Januari hingga 19 Januari 2021, KPDNHEP Negeri Sembilan telah menjalankan pemeriksaan di 295 premis yang membekalkan minyak masak kepada pengguna di negeri ini.
“Hasil pemeriksaan keseluruhan dapat dirumuskan bahawa bekalan minyak masak dalam paket satu kilogram yang dijual dengan harga RM2.50 adalah mencukupi dan tidak mengalami masalah terputus bekalan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Ain Arjuna, pemeriksaan tersebut meliputi 193 peruncit, 38 pasar raya besar, 36 pasar mini, 22 pasar raya dan enam pemborong.
Jelas beliau, pihak KPDNHEP tidak menolak kemungkinan permintaan terhadap minyak masak dalam paket satu kilogram meningkat sejak PKP diumumkan oleh kerajaan.
“Beberapa premis yang didapati telah kehabisan stok (minyak dalam paket) juga telah membuat tempahan daripada pihak pembekal dan dijangka akan menerima bekalan dalam masa terdekat,” katanya.
Ain Arjuna memberitahu, sehingga kini, pihak KPDNHEP Negeri Sembilan tidak menerima sebarang aduan daripada pihak pengguna berkaitan kenaikan harga minyak masak dalam botol.
“Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati kenaikan harga bagi minyak masak dalam botol di negeri ini melibatkan beberapa jenama dan berlaku di beberapa lokasi sahaja.
“Minyak masak dalam botol satu kilogram bagi lima jenama mencatatkan kenaikan antara RM0.10 hingga RM1 manakala minyak masak dalam botol dua kilogram bagi lima jenama mencatatkan kenaikan antara RM0.10 hingga RM2.30.
“Seterusnya, minyak masak dalam botol lima kilogram bagi lima jenama mencatatkan kenaikan antara RM0.50 hingga RM3.08,” ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya memandang serius situasi tersebut dan hasil pemantauan akan dikemukakan kepada pihak ibu pejabat bagi penyelarasan dan tindakan selanjutnya.
“Pegawai penguat kuasa KPDNHEP bersama-sama Pegawai Pemantau Harga di negeri ini akan sentiasa memantau dan memeriksa bagi memastikan bekalan minyak masak mencukupi dan harga barang stabil tanpa kenaikan mendadak.” katanya lagi.
Pengguna di Negeri Sembilan boleh menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan peniaga yang tidak mematuhi undang-undang melalui portal e-aduan KPDNHEP atau menghubungi talian bebas tol 1 800 886 80. – UTUSAN