PUTRAJAYA: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Asrama Pekerja Kejora Juara, Bukit Pasir, Muar, Johor, ditamatkan hari ini selepas 2,258 ujian saringan Covid-19 dilaksanakan di kawasan itu.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, secara kumulatif sebanyak 1,837 kes positif direkodkan.
“Bagaimanapun, katanya, Kementerian Kesihatan mengesahkan kesemua kes positif yang dimasukkan ke wad dan isolasi di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) sembuh sepenuhnya dan tiada lagi sampel menunggu keputusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut memaklumkan, PKPD di Blok Gemilang, Blok Harapan, Blok Jaya dan Blok Abadi (PKRC) di Pusat Koreksional Kamunting (KEMTA), Taiping, Perak turut ditamatkan selepas Kementerian Kesihatan mengesahkan kesemua tahanan yang ditempatkan di PKRC KEMTA telah sembuh serta dibenarkan keluar dari PKRC.
Katanya, Kementerian Kesihatan turut mengesahkan tiada lagi kes positif baharu dilaporkan di lokaliti itu.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Sumber Manusia memaklumkan, seramai 7,217 pekerja warga asing menjalani ujian saringan dan daripada jumlah itu, 116 orang disahkan positif Covid-19.
Secara kumulatifnya, kata beliau, sejak 1 Disember tahun lalu, seramai 242,500 pekerja warga asing menjalani ujian saringan Covid-19 yang melibatkan 10,051 majikan.
“Daripada jumlah ini seramai 4,602 orang disahkan positif Covid-19, manakala 237,898 lagi adalah negatif.
“Sehingga kini juga, sebanyak 887 klinik telah terlibat dengan program saringan ini,” katanya.
Ismail Sabri berkata, langkah itu selari dengan arahan kerajaan yang mewajibkan semua pekerja warga asing khususnya di enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah, Kuala Lumpur dan Labuan untuk menjalani ujian saringan Covid-19 dan kos ujian saringan ditanggung oleh majikan masing-masing. -UTUSAN ONLINE