Bawa kuda mandi laut sempena PKP - Utusan Malaysia

Bawa kuda mandi laut sempena PKP

MOHD. Fitri Malik memandikan salah seekor kudanya di laut ketika pelaksanaan PKP di negeri ini ketika ditemui di pantai Dataran 1Malaysia Klebang. -UTUSAN/ AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pengusaha kuda untuk aktiviti pelancongan di Dataran 1Malaysia Klebang mengambil kesempatan sempena pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri itu apabila membawa lima ekor kuda miliknya untuk mandi laut di Pantai Klebang, di sini.

Mohd. Fitri Malik berkata, sejak PKP bermula Rabu lepas, Dataran 1Malaysia Klebang yang menjadi tumpuan orang ramai setiap petang dan khususnya hujung minggu, kini sepi tanpa kelibat orang ramai beriadah di sepanjang pantai di situ.

Justeru, menurutnya, peluang itu digunakan untuk membawa lima ekor kuda peliharaannya mandi laut sambil dibantu lima orang pekerjanya.

“Kalau ada orang ramai di sepanjang pantai agak susah nak mandikan kuda, bimbang jika tiba-tiba haiwan ini boleh bertindak di luar jangkaan. Bila pantai kosong tidak ada pengunjung barulah saya berani nak bawa semua kuda ini mandi laut.

“Mandikan kuda di laut bukan tugas mudah kerana ia terpaksa dibuat seekor demi seekor dan perlu dikawal dengan baik jika tidak haiwan ini boleh meronta-ronta secara tiba-tiba dan boleh menyebabkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurut Mohd. Fitri, kuda yang dijaga itu digunakan untuk aktiviti pelancongan terutama menarik kereta kuda dengan membawa orang ramai mengelilingi kawasan berdekatan di Dataran 1Malaysia Klebang selain tunggangan santai.

Katanya, beliau mengusahakan aktiviti pelancongan di situ hampir dua tahun lalu dan ia dapat menarik minat orang ramai khususnya bagi pelancong tempatan yang datang dari luar negeri ini.

“Apabila PKP dilaksanakan di negeri ini pendapatan saya juga turut terjejas. Aktiviti berkuda tidak dapat dijalankan apabila kawasan sekitar di dataran ini kembali sepi tidak ada 

pengunjung,” ujarnya.

Justeru beliau mengharapkan agar tempoh pelaksanaan PKP yang akan tamat 26 Januari ini tidak dilanjutkan lagi selepas itu.

Tambah Mohd. Fitri, kos menjaga kuda terutama membeli makanan haiwan itu menjangkau antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan dan sepanjang tempoh dua minggu pelaksanaan PKP ia telah menjejaskan pendapatan hariannya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya