SEREMBAN: Kerajaan perlu memberi fokus untuk menyiapkan projek pengangkutan awam sedia ada dalam kadar yang segera dan menambah kapasiti Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam pengendalian kargo melalui tren.
Bekas Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook berkata, ia susulan pembatalan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang diputuskan Malaysia dan Singapura hari ini.
“Saya berpendapat bahawa dengan keputusan muktamad untuk membatalkan HSR di antara Kuala Lumpur dan Singapura telah dibuat, maka fokus kerajaan seharusnya ditumpukan kepada menyiapkan projek sedia ada dalam kadar yang segera.
“(Termasuk) menambah kapasiti KTMB dalam pengendalian kargo melalui tren serta projek-projek pengangkutan awam yang lain seperti Transit Aliran Massa 3 (MRT3) di Lembah Klang dan bas transit pantas (BRT) di Johor Bahru,” katanya.
Malaysia dan Singapura hari ini memutuskan HSR dibatalkan selepas tempoh penangguhan projek itu berakhir semalam.
Dalam kenyataan bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, kerajaan Malaysia sebelum ini telah mencadangkan beberapa pindaan projek itu berikutan pandemik Covid-19.
Dalam hal itu, kedua-dua negara mengadakan beberapa perbincangan berhubung pindaan itu, namun tidak mencapai persetujuan bersama oleh itu, perjanjian projek HSR telah berakhir pada 31 Disember (semalam).
Dalam pada itu, Siew Fook yang juga merupakan Ahli Parlimen Seremban berkata, kerajaan juga perlu memperuntukkan tren mencukupi bagi Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) menerusi jajaran Kuala Lumpur-Johor Bahru sebaik sahaja landasan berkembar di antara Gemas dan Johor Bahru siap pada 2022.
“Apabila landasan berkembar ini disiapkan, ia bermaksud landasan berkembar sedia ada ialah di antara Padang Besar di utara menyambung terus ke Johor Bahru di selatan. Perkhidmatan ETS yang dikendalikan oleh KTMB akan ditawarkan kepada orang ramai.
“Walaupun ETS tidak secepat HSR, namun pada hemat saya ia memadai untuk perkhidmatan domestik. Kerajaan cuma perlu memperuntukkan tren yang secukupnya untuk menambah kekerapan perkhidmatan,” katanya.
Sementara itu, jelasnya, kerajaan mesti mengambil tindakan telus dengan mengumumkan kepada rakyat jumlah pampasan yang perlu dibayar kepada Singapura dan jumlah keseluruhan kos yang telah dibelanjakan oleh syarikat MyHSR yang ditanggung oleh wang pembayar cukai sejak tahun 2016 susulan pembatalan HSR.
“Semasa era Pakatan Harapan (PH), semua kos yang dibayar kepada pihak Singapura susulan penangguhan projek HSR dan projek Sistem Transit Rapid (RTS) diumumkan secara telus. Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada hari ini tidak boleh menyembunyikan sebarang maklumat tersebut,” katanya. – UTUSAN