SEREMBAN: Pembatalan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) seperti yang diumumkan kerajaan Malaysia dan Singapura baru-baru ini pasti memberi impak terutama berkaitan pertumbuhan ekonomi Negeri Sembilan.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pembatalan projek tersebut secara tidak langsung merencatkan perancangan pembangunan ekonomi khususnya di kawasan Labu yang mana sepatutnya menempatkan sebuah stesen HSR Seremban di kawasan itu.
Malah, jelasnya, HSR juga merupakan projek pemangkin terutama untuk mempercepatkan pembangunan Lembah Wawasan Malaysia 2.0 (MVV 2.0).
“Projek HSR bertujuan untuk mempercepatkan hubungan di bahagian Selatan dan Lembah Klang tetapi dibatalkan beberapa hari lalu. Apabila dibatalkan tentunya kita kena ubah perancangan dan kita akan cuba kekalkan kawasan tersebut sebagai persediaan pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Program Pelancaran Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025 Peringkat Negeri Sembilan di Kawasan Central Forest Spine 2 SL 7, Hutan Simpan Angsi-Berembun di Jalan Lama Bukit Putus, dekat sini hari ini.
Malaysia dan Singapura baru-baru ini memutuskan HSR dibatalkan selepas tempoh penangguhan projek itu berakhir pada 31 Disember tahun lalu.
Dalam kenyataan bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, kerajaan Malaysia sebelum ini telah mencadangkan beberapa pindaaan projek itu berikutan pandemik Covid-19.
Kedua-dua negara mengadakan beberapa perbincangan berhubung pindaan itu, namun, tidak mencapai persetujuan bersama oleh itu, perjanjian projek HSR telah berakhir pada 31 Disember.
Sementara itu, Aminuddin berkata, kerajaan negeri akan melihat kepada keperluan lain untuk pembangunan di kawasan sekitar yang terlibat dengan jajaran laluan HSR di negeri ini.
“Sudah pasti kawasan utama terminal di Labu itu akan terjejas, namun kita akan bangunkan dengan pembangunan lain. Bagaimana pun kita akan terus berusaha untuk meyakinkan pelabur untuk terus melabur di negeri ini, dengan melihat kepada pembangunan lain di kawasan tersebut,” tambahnya. -UTUSAN ONLINE