Barang di pasar raya habis terjual - Utusan Malaysia

Barang di pasar raya habis terjual

Seorang pembeli melihat rak menempatkan minyak masak bersubsidi yang kosong di sebuah pasar raya di Shah Alam, Selangor beberapa bulan lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Walaupun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri memberi jaminan barangan keperluan mencukupi di pasaran, orang ramai seakan-akan tidak mengendahkannya dan tetap melakukan pembelian panik.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa pasar raya di daerah ini mendapati bahagian rak minyak masak (paket dan botol) dan sayur-sayuran seperti cili, timun, terung dan kubis telah kosong.

Seorang pekerja yang hanya mahu dikenali sebagai Azman, 39, berkata, bekalan minyak masak, sayur-sayuran dan barangan lain habis sejak kelmarin. 

“Apabila bekalan telah habis, kita telah menambahnya di rak. Bagaimanapun, bekalan yang baharu ditambah juga telah habis dan kita terpaksa menjual barangan yang tinggal sahaja.

“Saya melihat orang ramai mula membuat persediaan awal secara berperingkat selepas khabar angin tersebar berkenaan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan melaksanakan PKP di enam buah negeri iaitu di Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah selama 14 hari bermula pukul 12.01 tengah malam esok (Rabu) hingga 26 Januari depan. 

Sementara itu, kakitangan swasta, Zulkeffli Zakaria, 56, berkata, dia membeli barangan yang diperlukan sahaja untuk keluarga dan tidak gemar membeli secara berlebihan kerana satu pembaziran. 

“Saya sememangnya telah menjangkakan kerajaan akan melaksanakan PKP kali kedua melihat kepada peningkatan kes Covid-19 secara mendadak,” katanya.

Sementara itu, suri rumah, Asmah Supian, 44, berkata, pihaknya mendapati banyak barangan di rak telah habis dan mungkin orang ramai telah membuat persiapan awal dengan membeli keperluan.

“Mungkin mereka tidak mahu berhadapan kesesakan pada saat akhir yang akan menyusahkan diri sendiri. 

“Saya berharap peniaga atau pihak pasar raya dapat menambah stok barangan yang habis bagi memastikan bekalan barangan sentiasa mencukupi sepanjang PKP dilaksanakan,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya