IPOH: Seorang pembantu perawatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua anak perempuannya berusia sembilan dan enam tahun, tahun lalu.
Tertuduh berusia 42 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Fauzi Mohd. Nasir.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki yang bekerja di sebuah klinik kesihatan di Manjung itu didakwa melakukan amang seksual terhadap anak perempuannya yang berusia enam tahun dengan cara memegang kemaluan bagi tujuan seksual.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Lekir, Sitiawan pada pukul 2.30 pagi, 10 April tahun lalu .
Lelaki itu turut didakwa atas pertuduhan kedua apabila melakukan perbuatan sama terhadap anak perempuannya yang berusia sembilan tahun di lokasi sama antara pukul 8 sehingga 12 malam pada April 2020.
Pendakwaan terhadap dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Waffy Ismail manakala tertuduh diwakili peguam, Mohamad Asri Othman.
Terdahulu, Mohd. Waffy menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 untuk dua pertuduhan dan tertuduh juga diminta melaporkan diri di balai polis berhampiran.
Bagaimanapun, Mohamad Asri meminta agar jumlah jaminan dikurangkan kepada RM5,000 selain memberitahu tertuduh dalam proses berpisah dengan isterinya dan tidak lagi tinggal bersama kedua-dua anaknya itu.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin dan diarahkan untuk melapor diri ke balai polis berhampiran bagi setiap awal bulan dan dilarang mendekati mangsa.
Mahkamah turut menetapkan 25 Februari ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN ONLINE