Bantuan moratorium diteruskan - PM - Utusan Malaysia

Bantuan moratorium diteruskan – PM

MUHYIDDN Yassin menegaskan menerima Akuan Bersumpah (SD) daripada dua Ahli Parlimen PKR yang menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekali gus meninggalkan PKR.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan berita baik bahawa bantuan moratorium dan pengurangan bayaran balik pinjaman  akan terus disediakan. 

Menurut beliau, inisiatif di bawah pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi Rakyat Malaysia (Permai) itu termasuklah lanjutan moratorium dan pengurangan ansuran pinjaman akan ditawarkan oleh institusi perbankan seperti yang diumumkan sebelum ini. 

Kata Perdana Menteri, bagi negeri-negeri yang  dilanda banjir, 15 bank juga telah pun menawarkan moratorium  bayaran balik pinjaman.  

“Setakat ini, lebih 1.3 juta peminjam telah memohon dan menerima  bantuan pembayaran, dengan kadar kelulusan sebanyak 95 peratus bagi  peminjam individu dan 99 peratus bagi peminjam Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). 

“Ini membuktikan bahawa rakyat tidak perlu bimbang untuk menghubungi bank jika mereka  memerlukan fleksibiliti pembayaran,” katanya dalam perutusan Pakej Bantuan Khas, hari ini.

Muhyiddin berkata, bagi peminjam yang menghadapi kesukaran berurusan dengan  bank mereka, Bank Negara Malaysia serta Agensi Kaunseling dan  Pengurusan Kredit (AKPK) bersedia membantu dan memberi khidmat nasihat melalui telefon atau secara dalam talian. 

Dalam pada itu, Perdana Menteri memberitahu, kemudahan i-Sinar telah dibuka kepada  semua ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang terjejas pendapatan akibat Covid-19 bermula 21  Disember lalu. 

Setakat 13 Januari lalu, kata beliau, lebih 3 juta permohonan diluluskan dengan jumlah RM24 bilion akan disalurkan pada tahun ini.  

Beliau menjelaskan, bagi menambah baik kemudahan i-Sinar terutamanya bagi mereka yang  menghadapi pelbagai cabaran akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta bencana banjir, KWSP akan membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1,000 ringgit bagi permohonan kemudahan i-Sinar  Kategori 2.  

“Proses pembayaran pendahuluan i-Sinar Kategori 2 juga  dipermudahkan kerana ahli hanya perlu mengisytiharkan secara kendiri  bahawa mereka memenuhi kriteria yang ditetapkan dan menghantar  dokumen sokongan secara dalam talian. 

“Kerajaan juga telah meminta  KWSP memudahkan proses pembayaran pendahuluan ini, yang akan  dibuat mulai 26 Januari. Maklumat lanjut akan diumumkan oleh KWSP  dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan juga melihat bahawa pelbagai insentif dan  pelepasan cukai telah berjaya merangsang ekonomi di dalam beberapa  sektor. 

Selaras dengan keperluan norma baharu yang banyak bergantung  kepada penggunaan alat digital, Perdana Menteri mengumumkan  bahawa pelepasan  cukai khas sehingga RM2,500  ke atas pembelian telefon bimbit,  komputer dan tablet yang telah berakhir pada 31 Disember tahun lalu akan  dilanjutkan setahun lagi sehingga 31 Disember ini.

“Industri telekomunikasi bersedia memberi bantuan dalam tempoh PKP ini dengan pemberian data 1 Gigabit secara percuma telah diberi kepada  orang ramai untuk melayari laman web, termasuklah untuk tujuan  pendidikan. 

“Kemudahan yang bernilai RM500 juta telah bermula  pada 1 Januari lalu dan akan dilanjutkan sehingga hujung April ini,” katanya.

Muhyiddin turut memberitahu, selain inisiatif itu, pakej langganan khas untuk pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) akan diperluaskan kepada pelajar institusi  pengajian tinggi. 

Pakej ini juga, kata Perdana Menteri akan disediakan sehingga hujung April  ini dan kerajaan berharap kedua-dua usaha industri telekomunikasi  tersebut akan dapat meringankan beban pengguna.  -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya