KEMAMAN: Bantuan banjir sebanyak RM500 untuk setiap keluarga yang terjejas banjir di negeri ini akan diagihkan selewat-lewatnya pada 15 Februari depan.
Pengerusi Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, ketika ini proses mengemas kini jumlah penerima bantuan itu masih giat dijalankan.
Katanya, berdasarkan perancangan awal, bantuan itu sepatutnya diagihkan pada 15 Januari lalu namun tertangguh kerana pertambahan bilangan mangsa susulan banjir fasa kelima yang berakhir 11 Januari lepas.
“Saya menjangka pembayaran akan dibuat mulai bulan depan dengan selewat-lewatnya pada 15 Februari selepas urusan mengemas kini data penerima selesai di samping situasi banjir pulih sepenuhnya kerana kita masih dalam tempoh bersiap-siaga jika banjir kembali melanda,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai memberitahu, kerajaan negeri telah menyalurkan bantuan segera termasuk barangan keperluan makanan seperti beras, tepung, gula dan minyak kepada semua keluarga terjejas bah.
Di samping itu, beliau turut berterima kasih atas keprihatinan orang perseorangan, para sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang turun padang membantu menghulurkan bantuan dalam pelbagai bentuk termasuk peralatan kebersihan diri, bantal, dan tuala kepada mangsa banjir di Terengganu.- UTUSAN ONLINE