GEORGETOWN: Gabungan Peniaga-Peniaga Ayam Pulau Pinang mendakwa bekalan ayam di bahagian pulau di negeri ini bakal dimonopoli sebuah syarikat berpangkalan di Singapura bermula Mac.
Sehubungan itu, kira-kira 200 peniaga ayam membantah tindakan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang didakwa akan menghapuskan kerja-kerja penyembelihan ayam di semua pasar basah dan hanya membenarkan bekalan ayam dibekalkan oleh syarikat berkenaan.
Pengerusinya, Azizur Rahman berkata, MBPP sepatutnya memperhalusi beberapa isu termasuk isu bekalan ayam halal sebelum membenarkan bekalan ayam dimonopoli oleh sebuah syarikat luar negara.
“Pelanggan kini lebih berhati-hati dengan soal halal selepas isu kartel daging haram dibongkar baru-baru ini.
“Mereka akan tanya dari mana kami peroleh bekalan ayam, kami sendiri tidak yakin dengan status ayam yang akan dibekalkan oleh syarikat dari Singapura,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Isu tersebut timbul susulan cadangan MBPP untuk menghapuskan proses penyembelihan ayam di semua pasar basah di pulau apabila pembinaan pusat pengedaran ayam di Batu Lanchang siap tahun ini.
Apabila siap kelak, pusat itu akan mengedar ayam siap disembelih kepada 126 penjual ayam di 26 pasar di seluruh negeri ini.
Selain itu katanya, MBPP turut memberi syarat kepada semua peniaga untuk membeli peti sejuk beku yang dibekalkan syarikat berkenaan setelah meja untuk meletakkan ayam segar di pasar dihapuskan.
“Harga peti sejuk berkenaan bukan murah, sebuah peti sejuk beku RM12,000, dengan kos-kos sebegini sudah pasti harga ayam akan melambung.
“Jika alasan untuk memastikan kebersihan, kenapa hanya peniaga ayam yang dikenakan syarat sebegini,” katanya.
Dalam pada itu, Azizur berkata, peniaga ayam di bahagian pulau juga memperoleh bekalan ayam daripada pelbagai pembekal dan sudah pasti perniagaan pembekal tempatan akan terjejas sekiranya bekalan hanya dimonopoli sebuah syarikat luar negara.
“Kami telah menyuarakan bantahan kepada MBPP ketika mengadakan mesyuarat pada November tahun lalu, namun tiada maklum balas daripada pihak berkenaan.
“Sekiranya masih tiada sebarang maklum balas kami tidak teragak-agak melancarkan mogok, sekarang kami bawa isu ini secara terhormat dahulu,” katanya.
Sementara itu, Datuk Bandar MBPP, Datuk Ar. Yew Tung Seang ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, pihaknya akan memberi maklum balas mengenai isu berkenaan dalam masa terdekat. – UTUSAN ONLINE