RANTAU PANJANG: Aktiviti perniagaan di Pekan Rantau Panjang, di sini kembali bernafas selepas banjir yang melanda Zon Bebas Cukai tersebut sejak Khamis lalu beransur surut hari ini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati rata-rata peniaga di situ mula melelong barangan bagi menarik perhatian pelanggan dan melariskan jualan masing-masing.
Seorang peniaga pakaian, Fatihah Daud, 30, berkata, inisiatif itu diambil bagi merancakkan semula hasil jualannya selepas empat hari tidak berniaga.
Katanya, selain lelongan dia turut membuat pemotongan harga ke atas setiap pembelian yang dilakukan oleh pelanggan.
“Alhamdulillah, usaha ini membuahkan hasil apabila sudah ada pergerakan dari segi jualan di premis saya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Peniaga makanan ringan, Rusila Ibrahim pula berkata, lelongan itu bersifat menang-menang dan sebagai tanda terima kasih kerana pelanggan sudi membeli di kedainya.
“Saya harap banjir segera pulih, begitu juga dengan Covid-19. Hal ini kerana kedua-duanya memberikan impak besar kepada kami para peniaga,” katanya.
Sementara itu, portal eBanjir.kelantan.gov.my melaporkan jumlah mangsa banjir di 27 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh Kelantan kini berkurangan kepada 2,487 orang daripada 777 keluarga.
Sehingga pukul 6 petang ini, Kuala Krai merekodkan jumlah mangsa tertinggi 1,409 orang diikuti Pasir Mas (856 orang) dan Tanah Merah (222 orang).
Paras air Sungai Golok di Rantau Panjang kini mencecah 9.97 meter, masih melepasi paras bahaya 9 meter namun menunjukkan trend penurunan sejak semalam. -UTUSAN ONLINE