Banjir ragut empat nyawa, tiga hilang - Utusan Malaysia

Banjir ragut empat nyawa, tiga hilang

Pasukan penyelamat SAR mengangkat jenazah Md. Rajihan yang ditemui kira-kira 15 meter dari lokasi keretanya ditemui di Kluang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hujan lebat yang menyebabkan beberapa negeri dilanda banjir sejak 2 Januari setakat semalam telah meragut empat nyawa dan tiga lagi masih hilang dihanyutkan air deras.

Korban pertama banjir dicatatkan pada hari pertama musibah itu melanda apabila seorang wanita ditemukan maut akibat terjatuh ke dalam longkang dalam kejadian di Jalan Setia, Kampung Contoh, Kluang, Johor.

Mangsa, Halijah Majid, 59, lemas selepas terjatuh ke dalam longkang sedalam satu meter ketika banjir melanda kampung berkenaan.

Kelmarin, Zulkarnain Hitam, 58, menjadi korban kedua selepas hanyut ketika cuba menyeberangi laluan yang dinaiki air di Sungai Puas, Jerantut, Pahang.

Mangsa bersama tiga anaknya dalam perjalanan dari rumah mereka di Taman Perdana ke sebuah rumah di Kampong Sokti, Jerantut.

Dia dihanyutkan arus deras Sungai Puas bersama anaknya, Ukai Iskandar, 23, penuntut Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang masih hilang sehingga malam tadi.

Mangsa ketiga direkodkan semalam korban membabitkan seorang penuntut tahun pertama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Ikmal Hakimi Mahasan, 20, yang dihanyutkan arus deras air sungai yang melimpah di Kampung Bentong, Kluang.

Semalam, mayat seorang lelaki yang hilang dihanyutkan air deras di Batu 18 Jalan Kluang-Kahang, Kluang, petang Sabtu lalu ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

Mayat Md. Rajihan Mohd. Junaidi, 28, dijumpai pada pukul 5.15 petang kira-kira 15 meter dari lokasi kereta Proton Wajanya ditemukan.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan semalam, dua beranak dilaporkan hilang selepas bot dinaiki mereka bersama ahli keluarga lain terbalik ketika cuba merentasi Sungai Jelai, dekat Kampung Bertang di Lipis, Pahang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya