JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di negeri ini mencatatkan penurunan kepada 3,598 mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh daerah terjejas setakat pagi ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, ia melibatkan 996 keluarga yang ditempatkan di 40 PPS seluruh Johor.
Katanya, jumlah itu mencatatkan penurunan berbanding 3,612 mangsa melibatkan 1,001 keluarga yang dikemas kini sehingga pukul 8 malam, semalam.
“Kota Tinggi kekal menjadi daerah yang terjejas teruk dengan merekodkan seramai 2,198 mangsa membabitkan 591 keluarga yang dipindahkan ke 23 PPS.
“Diikuti oleh daerah Johor Bahru seramai 1,084 mangsa daripada 325 keluarga yang ditempatkan di 10 PPS di daerah terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Vidyananthan berkata, hujan lebat berterusan menyaksikan tiga daerah yang pulih daripada bencana banjir sebelum ini kembali merekodkan kes baharu iaitu di Kulai, Kluang dan Pontian sejak semalam.
Katanya, sehingga kini hanya tiga daerah sahaja yang tidak terjejas melibatkan daerah Tangkak, Muar dan Batu Pahat apabila tidak ada kes direkodkan.
“Masih terdapat tiga jalan yang ditutup sepenuhnya iaitu Jalan Jabi-Bukit Tempurung di Segamat, Jalan Mawai Lama di Kota Tinggi dan Jalan Kota Tinggi-Kluang berhampiran Taman Seri Impian di Kluang.
“Tiada laporan korban banjir terbaharu di negeri ini menjadikan angka kematian kekal melibatkan tiga individu berusia lingkungan 20 hingga 61 tahun bagi kes di Kluang,” ujarnya. – UTUSAN