GUA MUSANG: Seramai 78 mangsa banjir daripada 17 keluarga masih berlindung di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) biarpun banjir yang melanda beberapa kawasan rendah di daerah ini sejak kelmarin dilaporkan mulai surut.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff melawat kumpulan tersebut hari ini dan mengingatkan mereka supaya tidak mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Katanya, walaupun dalam serba kepayahan akibat bencana banjir, mereka perlu bersabar dan sentiasa mengamalkan norma baharu ketika berada di PPS memandangkan ancaman pandemik Covid-19 masih wujud.
“Saya juga menyeru kepada masyarakat supaya sentiasa ikut arahan pihak berkuasa. Kalau perlu, segera berpindah ke PPS, jangan tangguh-tangguh,” katanya ketika ditemui pemberita di PPS Kampung Bertam Baru di sini hari ini.
Siti Zailah dalam pada itu mengucapkan terima kasih dan penghargaan tidak terhingga kepada para petugas barisan hadapan yang membantu mangsa banjir di seluruh negara. -UTUSAN ONLINE