TANJUNG MALIM: Banjir di Daerah Muallim di sini dan Hilir Perak berpunca dari ban penahan banjir yang pecah berikutan hujan berterusan sejak semalam.
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, hujan lebat berterusan menyebabkan arus air sungai menjadi deras sehingga ban sungai tidak dapat menampung kapasiti air seperti yang berlaku di Sungai Slim dan Sungai Bidor di sini.
Menurutnya, kerajaan negeri telah berbincang dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengenai perkara itu dan JPS akan memperbaiki ban yang pecah.
“Peranan JPS dalam membina ban bagi menangani masalah banjir di kawasan ini berhasil memandangkan kali terakhir banjir berlaku di sini ialah pada tahun 1971.
“Apa yang dibuat JPS sebelum ini adalah pelan jangka masa panjang untuk menangani masalah banjir dan ia berhasil, namun banjir ini di luar dugaan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Pejabat Kemas Muallim di sini hari ini.
Saarani turut menasihatkan mangsa banjir di PPS di negeri ini agar mematuhi semua arahan pihak berkuasa terutamanya pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) memandangkan pandemik Covid-19 masih menular.
PPS Pejabat Kemas Muallim di sini menempatkan seramai 284 penduduk dari 74 keluarga sejak petang semalam selepas banjir melanda kediaman mereka.
Banjir turut menyebabkan tiga daerah lain terjejas iaitu di Hilir Perak, Kampar dan Sungai Siput dengan keseluruhan mangsa berjumlah 1,010 penduduk dipindahkan. – UTUSAN