TAPAH: “Abang memang sayangkan ayah. Dia sangat mengambil berat, teliti dan lembut dalam menjaga ayah mentua.”
Demikian kata Nor Azlina Jawahir, 42, isteri kepada Zulfahmi Hasbollah, 46, yang meninggal dunia pada hari sama bapanya, Hasbollah Ahmad, 75, menghembuskan nafas terakhirnya semalam.
Menurut Nor Azlina, suaminya dijumpai tidak sedarkan diri semasa sedang memandikan bapa mentuanya di bilik air rumah mereka di Kampung Baru Temoh Stesen, Temoh di sini sekitar pukul 10 pagi.
Katanya, dia menyedari kejadian menimpa anak kedua dari lima beradik itu setelah terdengar bunyi objek terhempas dari bilik air sebelum mendapati suaminya terduduk dalam keadaan kejang.
“Ketika kejadian, suami sedang mandikan ayah dan ketika dijumpai pun tangannya masih bersabun. Saya panik dan cuba tepuk-tepuk tapi suami tidak memberikan reaksi.
“Saya hubungi talian 999 dan mereka minta saya buat CPR (bantuan pernafasan) sehingga ambulans tiba namun suami masih kaku dan tiada tindak balas,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Menurutnya, semasa dia melakukan CPR, bapa mentuanya yang duduk di kerusi di belakangnya tiba-tiba jatuh tersembam sehingga mengalami luka di dahi, hidung, bibir dan kening selain patah hidung.
Katanya, bapa mentuanya dihantar segera ke Hospital Tapah untuk rawatan manakala suaminya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di rumah.
“Bapa mentua mungkin mahu menolong, dia mahu bercakap pun pertuturannya sudah tidak betul. Ayah sakit tua dan terlantar sejak April lalu.
“Arwah suami memang sangat sayangkan ayahnya. Dia tidak boleh berpisah. Jika dia mandikan ayah, kami semua tidak ganggu kerana dia sangat teliti dan lembut,” katanya.
Tambahnya, bapa mentuanya yang pulang ke rumah selepas rawatan bagaimanapun mula menunjukkan keadaan kesihatan merosot kira-kira pukul 4 petang.
Katanya, mereka pada mulanya menyangka lelaki itu mungkin penat kerana belum menjamah makanan namun dia muntah dengan pernafasan tidak teratur.
“Semua anak-anak ada semasa ayah menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 10 malam. Sebelum dia pergi, kami beritahu yang abang sudah tiada dan dia hanya dilihat mengalirkan air mata,” katanya.
Tambahnya, suaminya mempunyai sejarah penyakit saluran jantung tersumbat, darah tinggi dan kencing manis selain bedah siasat memaklumkan punca kematian akibat serangan jantung.
Dalam pada itu, Salasiah Yaacob, 64, reda dengan pemergian suami serta anak lelakinya itu dan menganggap ia sebagai ketentuan Allah.
Katanya, kehilangan dua insan tersayang serentak memang begitu memilukan, namun perlu dihadapi dengan penuh sabar dan tenang.
“Sedih itu sudah tentu, namun semua ini sudah ketentuan Allah dan kami menerimanya dengan reda,” katanya.
Kedua-dua jenazah telah dikebumikan secara bersebelahan di Tanah Perkuburan Islam Temoh Stesen di sini masing-masing pada petang Ahad dan pagi Isnin. – UTUSAN ONLINE