Bakal pengantin perlu jalani ujian calitan sebelum nikah - Utusan Malaysia

Bakal pengantin perlu jalani ujian calitan sebelum nikah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Bakal pengantin dari mukim dan daerah serta negeri yang diisytiharkan zon merah oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dikehendaki menjalani ujian calitan Covid-19 sebelum akad nikah masing-masing bermula 1 Februari ini.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK), Mohd. Yusri Md. Daud berkata, mereka perlu mengemukakan keputusan Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) Covid-19 kepada pegawai agama daerah dalam tempoh tiga hari sebelum akad nikah berlangsung.

“Ujian RTK-Ag ini  boleh dilakukan di mana-mana fasiliti kesihatan yang diiktiraf Kementerian Kesihatan termasuk swasta dan kos ujian adalah tanggungan pemohon sendiri.

“Bakal pengantin yang berlainan daerah dan negeri pula hendaklah mendapat kebenaran merentas daerah dan negeri daripada pihak polis. 

“JHEAIK dan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) tidak akan mengeluarkan apa-apa surat sokongan bagi tujuan itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Yusri berkata, majlis akad nikah itu akan dilaksanakan di PAID dan hanya boleh dihadiri jurunikah, saksi, pengantin lelaki dan perempuan serta seorang wali dengan pematuhan ketat prosedur operasi standard (SOP).

“Jurunikah pula membabitkan tiga Penolong Pendaftar Nikah Cerai Rujuk (PPNCR) yang bertugas mengikut sistem penggiliran jadual ditetapkan PAID.

“Permohonan kebenaran yang lengkap sahaja akan diproses,” ujarnya.

Jelasnya, kursus pra perkahwinan  secara bersemuka masih ditangguhkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) malah pihaknya juga tidak mengiktiraf sijil kursus pra perkahwinan yang dilaksanakan secara dalam talian.

“Sebaliknya, JHEAIK memutuskan melaksanakan temuduga  bagi menggantikan kursus pra perkahwinan dan tujuan permohonan kebenaran berkahwin di negeri Kedah.

“Pihak PAID berhak menolak kehadiran pemohon sekiranya langkah keselamatan yang ditetapkan atau apa-apa arahan pegawai agama daerah dari semasa ke semasa gagal dipatuhi sepenuhnya,” katanya.

JHEAIK sebelum ini mengumumkan akad nikah akan berlangsung pada 1 hingga 4 Februari di pejabat agama daerah masing-masing.  -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya