Ayob Khan belum puas hati tahap penyeliaan peringkat IPD - Utusan Malaysia

Ayob Khan belum puas hati tahap penyeliaan peringkat IPD

AYOB KHAN MYDIN PITCHAY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mengakui terdapat kelemahan terhadap tahap penyeliaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) peringkat daerah yang perlu diberikan tumpuan.

Beliau berkata, semakan dan pemeriksaan mengejut oleh pasukan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, masih terdapat kelemahan penyeliaan Ketua Polis Daerah dan ketua bahagian ke atas kertas siasatan sama ada melibatkan jenayah, narkotik atau jenayah komersial. 

Kata Ayob Khan, antara kelemahan tersebut adalah terdapat kertas siasatan yang telah mendapat arahan tuduh daripada Timbalan Pendakwa Raya, tetapi, tidak diambil tindakan oleh pegawai penyiasat walaupun sudah hampir tujuh bulan. 

Tambahnya, terdapat juga pegawai penyiasat tidak menghantar kertas siasatan untuk edaran pertama dalam tempoh 24 jam dan ada kes-kes tertentu tiada pengedaran kes dalam tempoh tiga bulan.

“Di samping kejayaan cemerlang Kontinjen Johor, masih ada perkara yang perlu diberi penumpuan khususnya oleh ketua polis daerah, ketua bahagian, pegawai penyiasat dan ketua balai di peringkat daerah, saya masih tidak berpuas hati dengan tahap penyeliaan di peringkat daerah. 

“Bermula Februari ini, saya akan hantar pasukan tindakan khas dari IPK untuk membuat pemeriksaan mengejut ke atas kertas siasatan di semua daerah. Sekiranya masih terdapat kelemahan dari segi penyeliaan kertas siasatan sama ada di peringkat pegawai penyiasat, pegawai penyiasat kanan, ketua bahagian dan ketua polis daerah, semua akan dikenakan tindakan tatatertib, tiada tolak ansur,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Laporan Prestasi Tahun 2020 dan Amanat Ketua Polis Johor di IPK Johor di sini, hari ini. 

Ayob Khan berkata, kelemahan terbabit adalah disebabkan kurangnya penyeliaan membabitkan pegawai atasan di peringkat daerah.

“Ini adalah fakta. Ketua polis daerah, ketua bahagian dan pegawai penyiasat kanan semua berpengalaman luas. Sepatutnya tiada lagi alasan dan saya juga tidak mahu lagi menerima apa-apa alasan dalam konteks kelemahan penyeliaan di peringkat daerah.

“Sama-samalah kita memastikan penyeliaan dan penyediaan kertas siasatan yang disiapkan berkualiti. Jangan kita berbangga dengan operasi tangkapan sahaja tetapi juga kualiti siasatan, bagi memastikan kes-kes yang disiasat dituduh di mahkamah dan mendapat sabitan,” ujarnya. 

Beliau turut mengingatkan supaya seluruh anggota PDRM Johor supaya berpegang teguh kepada aspek integriti, amanah, tegas, adil dan berhemah ketika menjalankan tugas dan tanggungjawab biarpun berkemungkinan akan ditohmah, dikritik, dikecam dan diugut.

“Tuan-tuan dan puan-puan jangan bimbang, saya sentiasa berada di hadapan dan tidak akan membiarkan tuan-tuan dan puan-puan dibelasah, itu bukan prinsip saya. Tuan-tuan dan puan-puan boleh menyemak rekod saya semasa bertugas di Bahagian E8, Bukit Aman.

“Saya bertanggungjawab terhadap semua pegawai dan anak buah saya, sebarang kelemahan dan kekhilafan mereka, saya akan bertanggungjawab. Saya boleh bertolak ansur dan pertahan tuan-tuan dan puan-puan dalam isu-isu di atas tetapi dalam konteks rasuah, salah laku, bersekongkol dengan penjenayah, dadah dan penyeliaan, tiada tolak ansur,” tegasnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya