Askar Wataniah bantu tugasan SJR PKP  - Utusan Malaysia

Askar Wataniah bantu tugasan SJR PKP 

MOHD. Azmurin Mat Khalib (kanan) dan Komander Rej 503 AW, Kolonel Syed Nasir Sayed Mahadi (kiri) mendengar penerangan mengenai penugasan SJR semasa tinjauan di SJR Tapah hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Seramai enam pegawai dan 70 anggota Rejimen 503 Askar Wataniah (Rej. 503 AW) di bawah perintah Briged Kedua Infantri membantu pihak berkuasa dalam Ops Penawar sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini.

Penugasan mereka ini merupakan kesinambungan arahan yang telah diputuskan oleh kerajaan untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melaksanakan bantuan dan kerjasama kepada pihak polis bagi menguatkuasakan pelaksanaan PKP.

Panglima 2 Briged, Brigadier Jeneral Mohd. Azmurin Mat Khalib berkata, pasukan AW tersebut ditugaskan untuk membantu pihak polis dalam penugasan sekatan jalan raya (SJR) di kawasan-kawasan yang telah ditetapkan. 

Menurut beliau, sebanyak 15 lokasi SJR di Perak di mana lima daripadanya melibatkan penugasan anggota sukarela yang secara tidak langsung mendedahkan mereka dengan penugasan di lapangan bersama anggota tentera tetap.

“Penugasan anggota sukarela Rej. 503 AW ini merupakan Latihan Kerahan Untuk Berkhidmat (LKUB) apabila mereka dipanggil bertugas sepenuh masa mengikut tempoh yang ditetapkan. 

“Penugasan SJR di barisan hadapan negara juga merupakan salah satu tugasan yang disebut sebagai operasi ketenteraan selain daripada peperangan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa melawat  SJR di Tol Tapah serta perjumpaan bersama anggota yang terlibat dalam Ops Penawar. 

Hadir sama ialah Komander Rej. 503  AW, Kolonel Syed Nasir Sayed Mahadi.

Menurut Mohd. Azurin, penugasan pegawai dan anggota sukarela askar wataniah ini juga merupakan satu pengiktirafan negara terhadap tugas dan peranan yang dimainkan oleh mereka dalam menjaga keselamatan negara.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru kepada orang ramai khususnya golongan muda mudi untuk tampil menyertai pasukan askar wataniah. 

“Inilah peluang untuk anda semua tampil membuktikan pengorbanan dan tanggungjawab terhadap tanah air tercinta.

“Keselamatan negara adalah tanggungjawab semua rakyat Malaysia,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya