Aplikasi WhatsApp Mahdzir digodam - Utusan Malaysia

Aplikasi WhatsApp Mahdzir digodam

GAMBAR Profil akaun WhatsApp Mahdzir Khalid ditukar oleh penggodam kepada ilustrasi seorang wanita menghisap rokok, malam semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Aplikasi WhatsApp milik Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Seri Mahdzir Khalid digodam sejak pukul 10 malam semalam hingga menyebabkan beliau terpaksa mematikan talian tersebut sebagai langkah berjaga-jaga.

Menurut pegawai khasnya, Aizat Azam, pihaknya telah membuat laporan berhubung perkara tersebut di Balai Polis Sungai Besi, Kuala Lumpur semalam.

“Adalah dimaklumkan, segala hantaran mahu pun maklum balas di aplikasi WhatsApp daripada nombor telefon yang digunakan Mahdzir ketika ini, bukanlah daripada beliau sendiri.

“Ketika ini Mahdzir sudah tidak lagi menggunakan Whatsapp dan telah mematikan telefon pintarnya. Namun pemberitahuan di aplikasi WhatsApp miliknya itu masih menunjukkan beliau sedang berada dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mahdzir juga merupakan Ahli Parlimen Padang Terap dan Naib Presiden UMNO Pusat.

Pemerhatian Utusan Malaysia mendapati, gambar profil pada akaun WhatsApp Mahdzir juga telah ditukar oleh penggodam kepada ilustrasi seorang wanita menghisap rokok.

Sehubungan itu katanya, semua pihak diminta mengabaikan sebarang hantaran mahu pun maklum balas tidak menyenangkan yang mungkin diterima daripada nombor WhatsApp Mahdzir.

“Selepas akaun WhatsApp itu digodam, ada dalam kalangan rakan-rakan serta pegawai cuba menghantar mesej ke nombor tersebut. Namun, ada antaranya menerima ilustrasi dalam bentuk GIF yang menunjukkan gambar monyet menghisap rokok.

“Apabila saya menghantar mesej mempersoalkan tindakan penggodam berbuat demikian, pihak penggodam membalas dengan pertanyaan sama ada saya mahu turut digodam seperti Mahdzir,” katanya.

Tambahnya, selain laporan kepada polis, pihaknya akan membuat aduan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menyiasat tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab melakukan perbuatan itu.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya