Apa motif 10 bekas Presiden Majlis Peguam?  - Utusan Malaysia

Apa motif 10 bekas Presiden Majlis Peguam? 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tindakan 10 bekas Presiden Majlis Peguam mengeluarkan kenyataan bersama yang mengelirukan dan bercanggah dengan fakta-fakta perundangan yang ada.

Malah, ia bertentangan dengan kenyataan yang dibuat oleh tokoh-tokoh lain yang jauh lebih pakar dan lebih berpengalaman daripada mereka adalah satu dakwaan karut. 

Perkara itu disuarakan penganalisis politik, Dr. Kamarul Zaman Yusoff yang amat terkejut membaca kenyataan media yang dikeluarkan Datuk Param Cumaraswamy, Zainur Zakaria, Datuk Dr Cyrus V. Das, Datuk Mah Weng Kwai, Datuk Kuthubul Zaman, Datuk Yeo Yang Poh, Datuk Ambiga Sreenevasan, Ragunath Kesavan, Christopher Leong dan Steven Thiru. 

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, apakah motif 10 bekas presiden terbabit yang mengeluarkan kenyataan media yang mengelirukan. 

“Tidakkah mereka tahu bahawa dalam kes Stephen Kalong Ningkan (1968) telah diputuskan bahawa istilah darurat (“emergency”) adalah meliputi peperangan, kebuluran, gempa bumi, epidemik dan keruntuhan kerajaan sivil (“wars, famines, earthquakes, floods, epidemics and collapse of civil government”)? 

“Tidakkah mereka sedar bahawa tokoh seperti pakar perlembagaan terkenal negara, Prof Emeritus Datuk Dr. Shad Saleem Faruqi, sendiri telah menyatakan dalam akhbar The Star pada 14 Januari lalu bahawa pandemik Covid-19 adalah satu alasan sah untuk darurat kerana ia termasuk sebagai satu darurat (“the Covid-19 pandemic clearly qualifies as an Emergency”)?, ” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook miliknya, semalam. 

Kamarul Zaman berkata, tidakkah mereka sedar bahawa tokoh seperti bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, juga telah menyatakan di dalam portal berita Free Malaysia Today pada 12 Januari lalu bahawa asas yang digunakan untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat adalah termasuk di dalam Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. 

Katanya, tidakkah mereka juga sedar bahawa seorang lagi pakar perlembagaan terkenal negara, Prof Dr Abdul Aziz Bari, dan seorang peguam yang banyak memberikan komentar perlembagaan di dalam media massa dan Twitternya, Syahredzan Johan, walaupun kedua-duanya adalah orang kuat DAP, juga telah menyatakan di dalam portal berita The Malaysian Insight pada hari ini, 17 Januari, bahawa Proklamasi Darurat itu adalah sah?

“Tidakkah mereka tahu bahawa peruntukan yang menghendaki “Yang di-Pertuan Agong memanggil Parlimen dengan seberapa segera yang dapat dilaksanakan jika Proklamasi Darurat dikeluarkan dalam masa Parlimen tidak bersidang” hanya wujud di dalam Perlembagaan Persekutuan sebelum 15 Mei 1981 sahaja dan bahawa peruntukan ini sudah dimansuhkan bermula dari tarikh tersebut?

“Tidakkah mereka sedar bahawa satu tesis doktor falsafah berwibawa dari Brunel University pada tahun 1994 oleh Dato’ Dr Cyrus V. Das sendiri merumuskan bahawa ketiadaan tempoh spesifik dalam mana sesuatu Proklamasi Darurat perlu dibentangkan di Parlimen menyebabkan terpulang kepada kerajaan untuk berbuat demikian bila-bila masa sekalipun,” katanya. 

Tambahnya, tidakkah mereka juga sedar bahawa Abdul Aziz dan Syahredzan, walaupun kedua-duanya adalah orang kuat DAP, juga telah menyatakan di dalam portal berita The Malaysian Insight pada hari ini, 17 Januari, bahawa “Perlembagaan Persekutuan mengatakan bahawa setelah Parlimen bersidang pengisytiharan darurat perlu dibentangkan di Parlimen, ia tidak mengatakan mesti dibentangkan di Parlimen untuk dilaksanakan.”

“Apa motif 10 bekas Presiden itu mengeluarkan kenyataan media mengelirukan yang bercanggah dengan fakta-fakta perundangan yang ada, malah yang bertentangan dengan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh tokoh-tokoh lain yang jauh lebih pakar dan lebih berpengalaman daripada mereka?,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya