PUTRAJAYA: Tan Sri Annuar Musa hari ini mendedahkan antara punca dirinya digugurkan sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) disebabkan isu akuan bersumpah (SD).
Malah beliau secara terbuka tanpa berselindung menunjukkan salinan SD tersebut pada sidang akhbar khas yang turut menjadi tumpuan ramai pemberita di kementeriannya di sini.
“Isu sokongan Pengerusi BN dan beberapa kepimpinan UMNO terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik jadi perdana menteri mungkin antara sebab saya kemudian dipecat,” katanya.
Beliau yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO berkata demikian sebagai menjawab isu pengguguran dirinya daripada jawatan di BN berkuat kuasa serta-merta semalam.
Annuar yang dilantik ke jawatan berkenaan pada 16 Mac tahun lalu digantikan dengan Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga Setiausaha Agung parti itu tanpa sebarang sebab dinyatakan.
Jelasnya, SD berkenaan yang dialamatkan kepada Yang di-Pertuan Agong sebenarnya hasil pertemuan sulit beberapa tokoh UMNO dengan Anwar antaranya pada 13 Oktober lepas.
Ahli Parlimen Ketereh itu mendakwa, beliau tidak dapat lagi bercakap secara berlapik apabila dirinya diserang sedangkan isu tersebut jelas menyalahi prinsip dan pendirian politik dirinya.
“Sokongan secara rahsia itu diistilahkan jajaran baharu oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ternyata cuba menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN),” katanya.
Annuar mendakwa, tindakan kepimpinan UMNO itu boleh menggugat kestabilan kerajaan sedia ada dan ini tidak menghormati keputusan parti seperti ‘No DAP, No Anwar’.
Justeru beliau ambil keputusan untuk tidak mahu dilihat bersekongkol namun tindakannya itu dipandang konon cuba lebih menyebelahi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula.
“Ini termasuk saya tidak bersetuju dengan seruan dibuat pemimpin UMNO agar dibubarkan Parlimen untuk diadakan pilihan raya umum ke-15 dalam keadaan sukar ketika ini,” katanya.
Katanya, perbezaan pandangan itu dengan Ahmad Zahid menyebabkan kestabilan kerajaan PN mulai tergugat selain hakis hubungan baik UMNO dengan Pas dan Bersatu.
Sehubungan itu beliau mendakwa lebih baik tidak bersubahat dengan hala tuju Ahmad Zahid malah bersyukur dirinya kini lebih bebas setelah digugurkan daripada jawatan berkenaan.
“Saya penuh reda menerima pemecatan ini dan berserah kepada Allah namun akan terus berjuang atas wadah UMNO demi menyumbang parti bermaruah dan berintegriti,” katanya. – UTUSAN ONLINE