KEMAMAN: Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini berkenan mencemar duli menyantuni mangsa banjir di daerah ini dan Dungun.
Keberangkatan baginda diiringi kekanda dan adindanya, Tengku Nadhirah Zahrah, Tengku Muhammad Mua’az dan Tengku Fatimatuz Zahra’.
Baginda yang tiba kira-kira pukul 11.15 pagi melawat pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) di sini yang menempatkan seramai 528 mangsa banjir.
Tengku Muhammad Ismail bersama kekanda dan adindanya turut meluangkan masa beramah mesra dengan beberapa penduduk yang terjejas bah sebelum mengurniakan sumbangan makanan dan keperluan harian.
Selain PPS Dewan Berlian MPK itu, kesemua anakanda Sultan Terengganu turut berkenan berangkat ke tiga PPS lain di daerah ini iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Iman yang menempatkan 339 keluarga, Sekolah Menengah Agama (SMA) Al Falah (165 keluarga) dan SK Chukai (185 keluarga).
Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Hanafiah Mat merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai di samping Pegawai Daerah Kemaman, Mohd. Sophian Abu Bakar.
Baginda bersama kekanda dan adindanya kemudian berangkat ke dua lagi PPS di Dungun iaitu PPS Kampung Pasir Raja dan PPS Kampung Jongok Batu. – UTUSAN