SHAH ALAM: Angkatan Muda Keadilan Selangor menolak sebarang kerjasama politik melibatkan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Ketua Penerangannya, Adzman Kamaruddin berkata, umum mengetahui Dr. Mahathir bukanlah seorang yang jujur dan menepati janji dalam sebarang kerjasama politik.
“Kita ingin mengulangi desakan supaya sebarang bentuk kerjasama politik seumpama cadangan ‘Grand Coalition’ tidak melibatkan Dr. Mahathir.
“Kenyataan terkininya yang mengecam Presiden Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan bahawa beliau bukanlah seorang yang ikhlas dalam usaha menggembleng kekuatan pembangkang tetapi berniat jahat untuk mewujudkan persepsi negatif terhadap semua perkara khususnya hal-hal terkait Anwar.
“Malah, Dr. Mahathir berterusan menyalahkan Anwar kononnya gagal mengembalikan semula mandat rakyat dan mengambil-alih kerajaan sedangkan hakikatnya beliau adalah faktor utama serta punca PH kehilangan kuasa di peringkat Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Adzman berkata, bekas Perdana Menteri itu seharusnya sedar beliau sudah tidak relevan lagi dalam politik Malaysia.
“Mungkin benar beliau antara faktor kejayaan PH dalam usaha menarik undi orang Melayu dalam pilihan raya yang lalu, namun kini Dr. Mahathir bukan lagi faktor tersebut.
“Kami bimbang sekiranya Dr. Mahathir terlibat kembali bersama PH pada masa ini, bukan sahaja sokongan orang Melayu bahkan sokongan orang bukan Melayu pun akan merosot terhadap PH,” ujarnya.
Terdahulu, ketika merasmikan program Amanat Perjuangan 2021, Dr. Mahathir melabelkan Anwar sebagai pemimpin yang tidak boleh dipercayai selepas menolak tawaran Pejuang untuk bekerjasama menerusi Pakatan Harapan (PH) Plus.
Dr. Mahathir juga menyatakan terkilan dengan sikap Anwar yang dilihat enggan bekerjasama dan menolak pelawaannya apabila menawarkan diri untuk menjadi Perdana Menteri bagi tempoh enam bulan. – UTUSAN