Ambulans bawa wanita hamil ke Hospital Dungun rempuh treler - Utusan Malaysia

Ambulans bawa wanita hamil ke Hospital Dungun rempuh treler

KEADAAN ambulans yang membawa wanita hamil selepas terlibat kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 140, Jalan Kuantan-Terengganu di persimpangan lampu isyarat berhadapan Eastern Steel di Kemaman semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN:  Ambulans yang membawa wanita hamil ke Hospital Dungun merempuh treler di Kilometer 140, Jalan Kuantan-Terengganu di persimpangan lampu isyarat berhadapan Eastern Steel di sini malam tadi. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.40 malam itu, pemandu ambulans yang berusia 56 tahun hanya cedera ringan, manakala pesakit dan jururawat tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila ambulans dari arah Kuantan ke Terengganu itu tiba-tiba merempuh treler tanpa muatan  yang memasuki simpang Eastern Steel.

“Siasatan mendapati semasa lampu isyarat bertukar hijau, treler yang dipandu lelaki berusia 46 tahun dari arah Teluk Kalong itu meneruskan perjalanan menghala masuk ke Eastern Steel sebelum dilanggar ambulans tersebut.

“Pelanggaran itu menyebabkan treler hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan, bagaimanapun, pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Hanyan berkata, kemalangan itu turut menyebabkan ambulans remuk di bahagian hadapan, manakala treler pula mengalami kerosakan di bahagian kiri.

Katanya, pemandu ambulans yang cedera kemudian dibawa ke Hospital Kemaman untuk menerima rawatan  dan kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya