KUALA TERENGGANU: Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan (Akuatrop), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melakar kejayaan apabila diiktiraf sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (Hicoe) bagi Teras Penyelidikan dan Inovasi, semalam.
Penolong Pendaftar Kanannya, Solihah Ahmad berkata, pencapaian tersebut membolehkan Akuatrop muncul satu-satunya pusat kecemerlangan yang menerima pengiktirafan itu daripada Kementerian Pengajian Tinggi pada tahun ini.
Katanya, melalui suntikan dana sebanyak RM6.6 juta, Akuatrop bakal memfokuskan kepada penyelidikan berkaitan kerang-kerangan seiring dengan pelan tindakan dan hala tuju fasa satu bagi tiga tahun pertama yang bermula 1 Januari 2021 hingga 31 Disember 2023.
“Hicoe Akuatrop ini bakal menghimpunkan sekumpulan 20 penyelidik tersohor di UMT terutama dalam bidang penyelidikan akuakultur yang diketuai oleh Prof. Dr. Mhd. Ikhwanuddin Abdullah selaku pengarah di samping lima penyelidik utama dan 15 penyelidik bersekutu.
“Empat program penyelidikan yang dirangka bagi program ini ialah Aquaculture Resource Sustainability, Aquaculture Breeding Technology, Aquaculture Green Technology dan Fish Health and Food Quality Assurance,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Solihah, pengiktirafan Hicoe itu diharapkan dapat menyokong Dasar Keselamatan Makanan Negara di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Mei tahun lalu. -UTUSAN ONLINE