KUALA LUMPUR: Semua aktiviti pengimarahan masjid, surau Jumaat dan surau di Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan ditangguhkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai esok.
Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Mohd. Ajib Ismail berkata, solat fardu pula dibenarkan dengan bilangan maksimum lima jemaah yang terdiri daripada ahli jawatankuasa dan para pegawai masjid.
Katanya, pelaksanaan solat Jumaat pula dibenarkan dengan bilangan maksimum 30 orang tertakluk kepada SOP ketat selaras dengan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Marilah kita semua terus berdoa dan bermunajat agar penularan wabak Covid-19 dalam negara segera berakhir,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan, Jawi turut memutuskan ketetapan berikut:
1.Semua aktiviti pengimarahan adalah ditangguhkan.
2.Laungan azan solat fardu lima waktu hendaklah diteruskan seperti biasa.
3. Penubuhan Jawatankuasa Pelaksanaan dan Pemantauan SOP di peringkat masjid, surau Jumaat dan surau.
4. Penyediaan ruangan khas solat bagi musafir, pemandu teksi, pemandu e-hailing, penghantar makanan dan seumpamanya.
5. Ketetapan ini berkuat kuasa mulai 13 Januari 2021 (Rabu) mulai solat fardu Subuh sehingga PKP ditamatkan oleh Kerajaan.