Aktifkan semula pemancar SKMM - Utusan Malaysia

Aktifkan semula pemancar SKMM

AHMAD MASLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu mengaktifkan semula sistem pemancar yang terdapat di seluruh negara bagi membantu pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pemancar tersebut yang banyak dibina semasa kerajaan Barisan Nasional (BN) di kawasan luar bandar perlu dilihat kembali peranannya.

Katanya, perkara itu perlu dilakukan memandangkan isu capaian internet yang lemah telah menyebabkan pelajar-pelajar terpaksa mencari kawasan yang tinggi atau tempat yang boleh mengakses pembelajaran mereka ketika ini. 

“Pandemik Covid-19 belum lagi berakhir dan Kementerian Pendidikan tidak membenarkan semua murid belajar secara bersemuka lagi, maka semua pihak harus tampil membantu pelajar-pelajar ini.

“Syarikat-syarikat telekomunikasi yang mengaut keuntungan ratusan juta setahun disaran menawarkan pakej-pakej bagi membantu pelajar-pelajar dari golongan memerlukan dan B40,” katanya selepas menyampaikan sumbangan Ziarah Kasih Covid-19 di Kampung Parit Makuaseng, Benut, di sini, hari ini.

Sebanyak 140,000 bungkusan makanan diedarkan kepada 125 buah kampung di kawasan Parlimen Pontian kepada golongan miskin dan B40  yang terkesan ekoran Covid-19 sejak  tahun lalu.

Dalam pada itu, Ahmad meminta Kementerian Kewangan menambah bajet bagi pembelian 150,000 komputer yang hanya bersamaan tiga peratus daripada 4.9 juta pelajar di seluruh negara.

Katanya, bagi memastikan semua pelajar dapat mengikuti PdPR di rumah dengan lebih berkesan tanpa berkongsi peranti dengan orang lain, setiap pelajar perlu mempunyai peranti mereka sendiri.

Di samping itu, beliau meminta syarikat-syarikat telekomunikasi yang diberikan kebenaran menjadi pembekal internet di sekolah perlu meluaskan perkhidmatan mereka di kawasan yang berhampiran.

“Ini tentu akan memberikan faedah kepada pelajar-pelajar untuk mengikuti PdPR tanpa memerlukan data yang dimiliki oleh ibu bapa atau ahli keluarga yang lain,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad berharap, PdPR tidak akan berpanjangan kerana akan memberikan kesan psikologi kepada pelajar-pelajar yang gagal menguasai pembelajaran dengan baik tanpa tunjuk ajar terus dari guru-guru. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya