Ahmad Tajuddin minta Ahmad Zahid pertimbang lepas jawatan Presiden UMNO - Utusan Malaysia

Ahmad Tajuddin minta Ahmad Zahid pertimbang lepas jawatan Presiden UMNO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Demi orang Melayu, UMNO, kesetiaan dan kegigihan membabitkan 3.6 juta ahli, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi wajar melepaskan tanggungjawab sebagai Presiden parti berkenaan.

Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman berkata, Ahmad Zahid perlu berjiwa besar berkorban dengan berundur daripada jawatan itu demi menyelamatkan survival parti tersebut.

Jelasnya, kemelut kepimpinan khususnya ahli Majlis Tertinggi serta ahli parlimen sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan Perhimpunan Agung UMNO 2018 berlarutan tanpa dapat diselesaikan.

“Tindak tanduk ahli-ahli Majlis Tertinggi serta ahli parlimen yang tidak terarah, mendedahkan UMNO kepada kehilangan keyakinan orang Melayu yang begitu diperlukan bagi menghadapi PRU-15 akan datang.

“Arah tuju yang tidak jelas beserta lemah ketegasan tindakan membawa kesan meluntur daya juang dan kesungguhan membabitkan 3.6 juta ahli UMNO,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini, Ketua Pemuda UMNO Pontian, Mohd. Helmi Buang meminta Ahmad Zahid berehat daripada memimpin parti itu dengan rasa hormat kerana menurutnya, pendekatan pemimpin mesti ada perubahan ketara mengikut arus zaman.

Ujar Mohd. Helmi, langkah berundur perlu turut sama dilakukan pemimpin-pemimpin UMNO lain yang sudah berpenggal-penggal memegang jawatan kepemimpinan tertinggi, sekali gus memberi ruang serta peluang kepada generasi baharu menggalas tanggungjawab itu.

Ketua Pemuda UMNO Seremban, Zool Amali Hussin juga senada dengan Mohd. Helmi meminta Ahmad Zahid berehat daripada memimpin dan berkata, permintaan itu disuarakan oleh ahli UMNO di peringkat akar umbi terutama dalam kalangan anak-anak muda.

Ahmad Tajuddin berkata, kesan langsung pendakwaan salah laku terhadap pimpinan UMNO membawa beban berat kebangkitan semula parti berkenaan.

“Ahli-ahli UMNO juga tidak dapat melihat dengan jelas kewajaran pimpinan parti mendokong pemimpin yang dipecat oleh ahli Majlis Tertinggi sendiri.

“Dalam pada itu, penolakan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) oleh bahagian-bahagian jelas memperlihatkan ketegasan penolakan ahli UMNO terhadap pimpinan kerajaan Bersatu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya