PUTRAJAYA: Seramai 1,540 ahli badan hak cipta karya penghibur tempatan yang layak bakal menerima agihan royalti pertama sebanyak RM500 setiap seorang bermula 29 Januari ini.
Pembayaran tersebut melibatkan seramai 1,134 ahli Recording Performers Malaysia Berhad (RPM) dan sejumlah 396 Performers Rights and Interest Society of Malaysia Berhad (Prism).
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, ia hasil inisiatif pihak kementerian dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
Ujarnya, ia melibatkan tunggakan sebanyak RM11,788,347.18 serta perlu dihabiskan secepat mungkin demi kebaikan semua pemuzik dan penyanyi yang pernah menjadi ahli RPM dan Prism.
“Saya berharap, langkah bayaran permulaan ini dapat membantu penggiat seni tanah air yang hidup dalam keadaan sukar bagi menghadapi situasi getir pandemik Covid-19 ketika ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar secara maya di sini hari ini bagi mengumumkan inisiatif agihan itu setelah dua badan tersebut dibubar ekoran diisytiharkan sebagai muflis.
Mahkamah pada 2018 memerintahkan badan berkenaan digulung selepas tidak membayar ganti rugi atas kesalahan pelanggaran hak cipta Public Performance Malaysia Sdn. Bhd. (PPM).
Isu itu mula timbul apabila Prism dikatakan gagal membuat agihan sepatutnya kepada penerima kerana didakwa menanggung hutang besar berkaitan royalti untuk pemuzik dan penyanyi.
Mengulas lanjut, Rosol berkata, Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI) selaku pelikuidasi urus tadbir bersetuju melakukan agihan melalui kaedah Unlogged Performance Allocation (UPA).
“Dengan cara itu, kementerian dan MyIPO berharap ia sedikit sebanyak memberi keringanan daripada tekanan dan kesan ekonomi dialami industri kreatif negara pada masa ini,” katanya.
Malah tambah beliau, persetujuan pelbagai pihak itu dicapai hasil campur tangan pihaknya dan mesyuarat susulan yang dipengerusikan dirinya sendiri pada 9 Disember tahun lalu.
Rosol turut menggesa penghibur terbabit segera menghubungi pejabat MDI Wilayah Persekutuan melalui talian 03-26183000 sambungan 2246 bagi memastikan nama mereka tidak tercicir.
Langkah itu juga katanya, untuk memastikan tiada berlaku pertindihan senarai nama sama kerana difahamkan ada yang turut menjadi ahli serentak dalam kedua-dua RPM dan Prism.
“Jumlah royalti diterima itu juga bergantung kepada bilangan lagu penghibur terbabit yang pernah dimainkan stesen penyiaran tempatan sebelum RPM dan Prism ditutup,” tegas beliau. – UTUSAN