Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
LIPIS: Musibah banjir yang menimpa penduduk di negeri ini terus mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah apabila baginda berkenan meninjau situasi banjir melalui udara dengan menaiki helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini.
Seri Paduka Baginda yang diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berangkat dari Pengkalan Udara TUDM, Kuantan kira-kira pukul 9 pagi bagi melakukan tinjauan udara.
Baginda kemudiannya mendarat di Kuala Lipis bagi menyantuni mangsa banjir di dua buah pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Clifford dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa yang menempatkan seramai 287 mangsa banjir.
Selain itu baginda berkenan mendarat di Mentakab dan Temerloh untuk menyantuni mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mentakab dan PPS Dewan Majlis Perbandaran Temerloh yang menempatkan 250 mangsa.
Dalam kunjungan itu, baginda turut mengurniakan sumbangan kepada mangsa banjir bagi meringankan beban yang ditanggung mereka.
Baginda turut mengajak seluruh rakyat bersama-sama mendoakan agar bencana banjir yang melanda beberapa negeri pada ketika ini tidak berpanjangan.