KUALA LUMPUR: Menzahirkan keprihatinan terhadap mangsa-mangsa banjir, Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, As-Sultan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menggunakan sampan untuk meninjau situasi banjir di Kampung Acheh, Pekan, Pahang pada pagi hari ini.
Memetik sumber laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan melawat pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Kampung Acheh dan Balairaya Kampung Acheh dan meluangkan masa menyantuni mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di PPS tersebut.
Dalam lawatan ini, Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir bagi meringankan beban yang ditanggung akibat bencana banjir.
Seri Paduka Baginda berdua dijadualkan meneruskan lawatan ke beberapa buah kampung di sekitar Pekan, Pahang yang telah dilanda bencana banjir.
Turut mengiring, anakanda-anakanda Seri Paduka Baginda berdua, Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah; Yang Amat Mulia Tengku Panglima Muda, Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah dan
Yang Amat Mulia Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.
Keberangkatan Seri Paduka Baginda berdua ini mencerminkan keperibadian dan keprihatinan tinggi Baginda berdua terhadap mangsa-mangsa banjir yang memerlukan bantuan.
Seri Paduka Baginda berdua mengajak seluruh rakyat untuk bersama mendoakan agar bencana banjir yang melanda beberapa negeri pada ketika ini tidak berpanjangan- UTUSAN ONLINE