Agihan kerusi Pas, UMNO belum dimuktamadkan - Utusan Malaysia

Agihan kerusi Pas, UMNO belum dimuktamadkan

ABDUL Hadi Awang (empat dari kiri) bersama Awang Hashim (dua dari kanan) dan Ahmad Tarmizi Sulaiman (lima dari kiri) melihat contoh varieti padi MR 307 pada Sesi Libat Urus Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bersama Peladang-Peladang Di Kawasan Muda di Alor Setar, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan agihan kerusi Parlimen antara parti itu dan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) masih belum dimuktamadkan.

Beliau berkata, rundingan agihan kerusi antara kedua-dua parti itu kini belum selesai kerana boleh berubah-ubah sehingga tarikh PRU-15 diumumkan.

“Pilihan raya tak tahu lagi bila, bila tahu pilihan raya barulah kita dapat selesaikan, insya-Allah bila tahu pilihan raya, kita akan dapat tentukan (pembahagian kerusi). 

“Dia boleh berubah, saya tak boleh bagi tahu sekarang, boleh adjust lagi mana perlu, tukar sana tukar sini mana perlu, belum muktamad lagi, tapi kita buat keputusan (untuk) serah (proses perundingan pembahagian kerusi) kepada (Pas) Pusat,” katanya

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Sesi Libat Urus Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bersama Peladang-Peladang Di Kawasan Muda di Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), Ampang Jajar di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim dan Pengerusi Mada, Ahmad Tarmizi Sulaiman. 

Akhbar semalam melaporkan UMNO dijangka bertanding sekurang-kurangnya 96 kerusi Parlimen pada PRU-15 selepas parti itu dikatakan sudah selesai mengadakan rundingan kerusi bersama dengan Pas.

Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dilaporkan memaklumkan perkara tersebut dalam satu majlis perjumpaan bersama pengamal media di ibu negara pada Sabtu lalu.

Dalam perkembangan sama, Abdul Hadi menegaskan, pelaksanaan PRU-15 dalam tempoh terdekat juga tidak sesuai terutama ketika negara menghadapi penularan wabak Covid-19 dan bencana banjir di beberapa negeri.

“Time (waktu) ni tak wajar (PRU-15), masih ada (penularan) Covid-19 dan banjir (pula) tak tahu lagi nak atasi, mangsa banjir pun tak (dapat) selesai (masalah mereka) lagi, biar selesai semua (perkara ini) baru boleh kita fikir (untuk adakan) pilihan raya” ujarnya.

Ketika ditanya tentang kemelut yang didakwa berlaku antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), beliau menganggap ia sebagai perkara biasa dan boleh diselesaikan.

“Kami sudah berkeluarga, dalam satu rumah sekarang ini yang mana semua itu parti Melayu. Kita utamakan perpaduan Melayu Islam dahulu, pada masa sama menyedari masyarakat majmuk mesti bersatu bersama dengan kita.

“Jadi urusan UMNO, Bersatu dan Pas ini seperti urusan di dalam rumah. Kadang-kadang orang dengar kita bising-bising itu, kita nak alih perabot dalam rumah sahaja. Insya Allah akan selesai,” katanya.

Beliau pada masa sama berkata, Pas akan terus mempertahankan Perikatan Nasional (PN) dan memperkasakan MN serta menyifatkan kerajaan PN masih kukuh dan kuat. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya