IPOH: Seorang Exco kerajaan negeri Perak menjadi mangsa individu yang menyamar sebagai dirinya untuk meminjam wang daripada kenalan beliau menerusi aplikasi WhatsApp.
Exco berkenaan, Datuk Shahrul Zaman Yahya (Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri) berkata, individu tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja menggunakan gambarnya malah meletakkan nombor telefon miliknya sebagai nombor kedua dalam aplikasi berkenaan.
Beliau menyedari perkara itu semalam setelah dihubungi rakannya yang menerima mesej daripada individu terbabit yang mahu meminjam sejumlah wang.
“Saya kecewa dengan tindakan individu itu yang menyamar untuk meminjam wang. Nombor telefon itu bukan milik saya walaupun menggunakan gambar saya sebagai gambar ‘profile’.
“Saya sangat terkejut apabila diberitahu mengenai perkara itu. Ada lima rakan mendapat mesej sama daripada ‘scammer’ itu dengan dua daripada mereka hampir membuat transaksi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Shahrul Zaman berkata, tindakan individu itu yang menggunakan gambar profil dan namanya untuk melakukan penipuan telah mencemarkan imej beliau selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup dan pemimpin negeri.
Malah katanya, yang lebih membuatkan beliau kesal apabila individu itu juga menjanjikan projek berkaitan belia dan sukan sekiranya mereka memberi pinjaman wang.
“Laporan polis mengenai penipuan itu telah dibuat rakan yang terlibat di Balai Polis Bercham dan saya dimaklumkan terdapat 20 laporan diterima ke atas nombor telefon tersebut.
“Saya berharap dengan penjelasan ini tiada mana-mana pihak yang terpedaya dengan penipuan individu tidak bertanggungjawab itu,” katanya.
Sementara itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak, Superintenden Hasbullah Abd. Rahman mengesahkan menerima laporan tersebut dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menipu. – UTUSAN ONLINE