Abang abang Bomba sentiasa ‘standby’ - Utusan Malaysia

Abang abang Bomba sentiasa ‘standby’

MOHAMMAD Hamdan Wahid (kanan) meninjau keadaan Sungai Johor ketika mengadakan lawatan di kawasan banjir di Kota Tinggi, Johor. - UTUSAN/ RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mempunyai keanggotaan yang mencukupi bagi menangani bencana banjir yang melanda 20 buah daerah di enam buah negeri ketika ini.

Bagaimanapun, Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, anggota dari negeri tidak terjejas seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perlis dan Kedah boleh digerakkan ke negeri terjejas sekiranya jumlah sedia ada tidak mencukupi.

Kata beliau, keanggotaan seramai 12,500 daripada 320 balai di seluruh negara berupaya menangani serta mengendalikan kejadian yang hanya berlaku di enam negeri termasuk Pahang, Terengganu dan Johor.

“Strategi kita sekiranya aset dan sumber manusia di negeri terjejas tidak mencukupi, kita akan menggerakkan keanggotaan negeri lain yang tidak terjejas untuk membantu.

“Malah, kita juga boleh menggerakkan anggota di akademi-akademi bomba termasuk jurulatih yang mungkin kita akan gunakan nanti bagi membantu di kawasan terjejas,” katanya ketika membuat lawatan kerja ke Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah JBPM Johor, Datuk Yahaya Madis.

Setakat ini, seramai 36,424 mangsa daripada 9,620 keluarga dipindahkan ke 410 pusat pemindahan sementara di 20 daerah melibatkan enam negeri terjejas.

Mohammad Hamdan berkata, JBPM mempunyai sebanyak 280 aset darat, 450 aset marin serta lima helikopter di seluruh negara bagi tujuan perpindahan mangsa banjir.

Beliau berkata, pihaknya percaya keadaan ini akan berterusan sehingga Mac depan hasil ramalan dan laporan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Dalam perkembangan berkaitan, beliau tidak menolak kemungkinan akan mencatu cuti kakitangan JBPM sekiranya keadaan kritikal.

“Hanya 10 ke 20 peratus sahaja dibenarkan untuk mengambil cuti yang kebiasaannya dilaksanakan secara penggiliran,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya