SEREMBAN: Tahap pematuhan penduduk Negeri Sembilan terhadap prosedur operasi standard (SOP) sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) amat memuaskan.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, 90 peratus mematuhi arahan ditetapkan dan setakat ini mereka memahami setiap ketetapan serta arahan dalam mengekang penularan Covid-19.
“Orang ramai sudah bersedia menghadapi PKP dan secara umum sebanyak 90 peratus rakyat di negeri ini mematuhi segala arahan dan SOP ditetapkan.
“Perkara itu berdasarkan pemantauan yang telah dikenal pasti pihak berkuasa tempatan, pasukan pemantau dan menerusi sekatan jalan raya (SJR),” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan tinjauan SJR berdekatan Plaza Tol Seremban-Labu di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim.
Menurut Mohamad, setakat ini pihak polis telah melaksanakan sebanyak 20 SJR di seluruh negeri selaras dengan pelaksanaan PKP yang diumumkan kerajaan dan SJR tersebut akan ditambah di setiap daerah. – UTUSAN ONLINE