SUNGAI PETANI: Lebih 800 anggota polis dan pasukan keselamatan dikerahkan dalam penugasan sekatan jalan raya (SJR) serta pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pada sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini bermula hari ini.
Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, anggota polis dan agensi pasukan keselamatan yang melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan melakukan penugasan itu setiap hari selama dua minggu penguatkuasaan PKPB.
“Daripada jumlah tersebut, seramai hampir 500 anggota akan terlibat dalam SJR yang dilaksanakan di seluruh negeri manakala kira-kira 300 anggota lagi melakukan rondaan pemantauan pematuhan SOP,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memantau JSR di Jambatan Merdeka, Tikam Batu di sini hari ini.
Hasanuddin memberitahu, sebanyak 18 SJR dilaksanakan di seluruh negeri ini yang melibatkan kawasan sempadan negeri Pulau Pinang, Perak dan Perlis.
Menurutnya, antara daerah yang terlibat dengan SJR ialah Kota Setar, Kuala Muda, Kubang Pasu, Kulim, Baling, Pendang dan Bandar Baharu.
“Pihak polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar arahan larangan merentas negeri sepanjang tempoh PKPB,” ujarnya.
Selain itu, beliau berkata, sebanyak 86 pasukan akan melakukan pemantau pematuhan SOP diketuai Polis Diraja Malaysia.
“Pasukan pemantau tersebut akan bergerak dari satu tempat ke satu tempat dalam memastikan orang awam mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya.- UTUSAN ONLINE