72 mangsa banjir berpindah ke dua PPS dalam tempoh enam jam

72 mangsa banjir berpindah ke dua PPS dalam tempoh enam jam

SEBAHAGIAN daripada 72 mangsa banjir di Kampung Teladas di Kemaman yang terpaksa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) kedua di Dewan Sivik Air Putih dari Dewan Orang Ramai Kampung Teladas kerana bimbang pusat itu dinaiki banjir.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Seramai 72 mangsa banjir membabitkan 15 keluarga di Kampung Teladas di sini terpaksa berpindah ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) dalam tempoh kira-kira enam jam kerana risiko ditenggelami banjir.

Penghulu Mukim Tebak, Mohd. Azlan Ibrahim berkata, kesemua mereka pada mulanya ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Teladas di Air Putih sebelum dipindahkan ke Dewan Sivik Air Putih kira-kira pukul 12 tengah malam tadi.

“Mangsa mulai berpindah ke PPS kira-kira pukul 6.30 petang selepas kediaman masing-masing dinaiki air tetapi, keadaan cuaca yang bertambah buruk menimbulkan kebimbangan PPS itu bakal banjir kerana lokasinya yang berhampiran sungai. 

“Demi keselamatan orang ramai, kita mengambil inisiatif memindahkan sekali lagi mangsa ke PPS kedua dengan menggunakan lori Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya ketika ditemui pemberita di Dewan Sivik Air Putih hari ini.

Mohd. Azlan berkata, walaupun Dewan Orang Ramai Kampung Teladas belum dinaiki air, namun pihaknya tidak mahu mengambil risiko berikutan pusat tersebut pernah ditenggelami banjir pada 2013. 

NORASYIKIN HARUN

Sementara itu, tinjauan di sekitar Air Putih mendapati kediaman penduduk di Kampung Batu 16, Kampung Dadong dan Kampung Jenang turut dinaiki air sejak awal pagi ini, namun masih belum ada pemindahan dilakukan. 

Seorang penduduk, Norasyikin Harun, 29, dari Kampung Batu 16 berkata, ini merupakan kali ketiga rumahnya dinaiki air sejak hujung November tahun lalu dengan terbaharu air  memasuki bahagian dapur kediaman setinggi paras betis.

Dia yang tinggal bersama bapanya, Harun Salleh, 72, masih belum berpindah memandangkan terdapat ruangan tinggi di rumah mereka.

“Biasanya air akan surut cepat jika tiada hujan dan saya memang tidak berpindah ke PPS kerana sudah menyediakan stok makanan kering sebagai persediaan banjir,” katanya yang kehilangan ibu sejak lima tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya