KOTA BHARU: Sebanyak tujuh Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih dibuka di sekitar Pasir Mas dan Kuala Krai, ekoran banjir yang belum surut sepenuhnya di dua jajahan itu.
Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tujuh PPS terbabit menempatkan 438 mangsa banjir daripada 145 keluarga.
Di Pasir Mas, 368 mangsa daripada 125 keluarga kini berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bakong, PPS SK Kedai Tanjong, PPS SK Tok Deh dan PPS Putat 7.
Sementara itu di Kuala Krai, 70 mangsa daripada 20 keluarga kini berlindung di PPS SK Banggol Guchil, PPS Kolej Vokasional Kuala Krai dan PPS SK Manek Urai.
Laman sesawang infobanjir.water.gov.my pula melaporkan Sungai Golok masih melepasi paras bahaya manakala Sungai Kelantan dan Sungai Lebir menurun kepada paras berjaga-jaga.
Sementara itu, paras air Sungai Galas pula dilaporkan kembali normal. -UTUSAN ONLINE