PUTRAJAYA: Sejumlah tujuh ‘laluan tikus’ yang begitu popular digunakan ramai pengguna jalan raya dari Selangor untuk keluar dan masuk Putrajaya sudah pun ditutup pada hari ini.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd. Fadzil Ali menerusi kenyataannya berkata, penutupan dibuat pihak Perbadanan Putrajaya (PPj) bermula tengah malam tadi.
“PPj mengambil langkah kawalan tambahan dengan menutup semua ‘laluan tikus’ yang menghubungkan Putrajaya dengan kawasan bersempadanan dengannya,” kata beliau.
Laluan yang diberi tumpuan adalah ke Cyberjaya, Dengkil, Pinggiran Putra, Bangi dan Puchong yang lazim jadi pilihan pengguna.
Kawalan dan pemeriksaan ujarnya, dilaksanakan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di pintu-pintu masuk utama Putrajaya.
Antara laluan ditutup itu ialah Jalan P5 di Presint 5 yang menghala ke Taman Cabaran serta Dengkil di samping Lebuh Wadi Ehsan di Presint 19 yang menghala Desa Pinggiran Putra.
Tidak ketinggalan terang Mohd. Fadzil ialah Persiaran Timur di Presint 16 yang susur ke Desa Pinggiran Putra selain Jalan P11J di Presint 11 yang menghala keluar dan masuk Cyberjaya.
“Juga Jalan Resam P11 di Presint 11 yang menuju ke MAEPS Serdang, Lebuh Sentosa ke Persiaran Utara di Presint 11 serta Jalan P14J di Presint 14 ke Sungai Merab Bangi,” katanya.
Dalam pada itu beliau menambah, empat sekatan jalan raya (SJR) turut diadakan pihak polis mulai hari ini antaranya di Lebuh Sentosa yang menghala keluar KM 4.0 Lebuh Raya MEX.
SJR kata Mohd. Fadzil, juga dibuat di KM 9.3, Persiaran Selatan, Presint 5 hala keluar ke Dengkil dan Pintu 2A, KM 5.9, Persiaran Utara, Presint 12 menuju keluar ke Hospital Serdang.
“Juga di KM1.0 Persiaran Utara atau Pintu 3 hala keluar ke Puchong dan keseluruhannya operasi kali ini melibatkan 16 pegawai, 64 anggota PDRM dan 48 anggota ATM,” katanya lagi.
Pada masa sama, operasi pematuhan prosedur operasi standard PKP pula melibatkan penyertaan enam pasukan dengan kekuatan enam pegawai, 18 anggota PDRM dan 12 anggota ATM. -UTUSAN ONLINE