PUTRAJAYA: Sebanyak 66 buah pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di 12 daerah di tiga negeri hingga pukul 12 tengah hari ini dengan Johor merekodkan paling banyak.
Sejumlah 51 PPS aktif dibuka di Johor, diikuti 13 di Pahang dan dua di Sabah, menurut Ketua Komunikasi Korporat Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Nur Daliza Dohat.
“Secara keseluruhan, kesemua PPS tersebut sedang menempatkan seramai 5,943 mangsa daripada 1,598 buah keluarga terjejas akibat banjir,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Di Johor, daerah yang terlibat ialah Batu Pahat, Johor Bahru, Kluang, Kota Tinggi, Kulai dan Pontian melibatkan 5,265 mangsa daripada 1,405 keluarga dan ‘trend’ didapati meningkat.
Bagi Pahang pula, daerah yang terlibat ialah Jerantut, Maran, Raub, Rompin dan Temerloh menempatkan 462 mangsa daripada 124 keluarga dan angka ini dijangka bertambah lagi.
“Ini berdasarkan keadaan cuaca semasa dengan hujan lebat peringkat merah atau amaran bahaya diramal di beberapa daerah di Pahang dan Johor sehingga 4 Januari,” katanya lagi.
Sementara itu ujar beliau, dua buah PPS aktif di Kota Kinabalu, Sabah menempatkan 216 mangsa daripada 69 keluarga ekoran banjir disebabkan cuaca ribut petir dan hujan lebat.
Nadma dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah aktif membuat pemantauan dan koordinasi menyelamat dan pengurusan mangsa sehingga kini.
Segala proses berjalan lancar hasil kerjasama pelbagai agensi yang terlibat dan pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) juga berada di lokasi dengan membawa bersama aset-aset seperti lori dan bot.
“Ia bersiap sedia memberi bantuan kepada agensi-agensi penyelamat negeri dan daerah selain koordinasi di PPS dilaksanakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat ,” tambah beliau.
Usaha bersepadu itu jelasnya, turut mendapat sokongan pihak Jabatan Kesihatan negeri dan daerah serta agensi penyelamat lain yang berlangsung dalam keadaan baik dan tersusun.
Ini termasuk penutupan sementara jalan di 26 laluan yang terjejas ekoran bencana banjir dan tanah mendap oleh pihak Jabatan Kerja Raya di sekitar Johor, Pahang dan Terengganu.-UTUSAN ONLINE