63 km kawasan pantai terhakis akan dibaik pulih - Utusan Malaysia

63 km kawasan pantai terhakis akan dibaik pulih

MOHD. Sharkar Shamsuddin (depan, kiri) meninjau hakisan di Pantai Kempadang ekoran musim tengkujuh yang melanda Pahang baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kira-kira 63 kilometer kawasan pantai di negeri ini yang bermula di Rompin, sempadan Johor sehingga ke Chendor di sempadan Terengganu dikesan mengalami hakisan yang teruk.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, keseluruhan kawasan pantai di negeri ini ialah 217 kilometer.

Jelasnya, kejadian hakisan yang berlaku adalah sukar dielakkan kerana ia proses semulajadi terutama di musim tengkujuh dengan lantunan ombak besar.

“Hakisan itu akan menjadi semakin serius jika langkah menanganinya tidak dilakukan, kesannya bukan sahaja kepada aktiviti pelancongan, malah turut menjejaskan ekonomi penduduk di persisiran pantai terbabit.

“Dalam keadaan ini, kerajaan negeri memandang serius dan akan mengambil langkah sewajarnya untuk mengatasi masalah yang dihadapi.

“Antara langkah awal ialah membina struktur kawalan hakisan pantai atau ‘rock revetment’ dengan meletakkan batu di kawasan pantai yang terjejas,” katanya ketika ditemui selepas meninjau hakisan di Pantai Kempadang di sini semalam.

Yang hadir sama, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Mohd. Sani Mat Daud , Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Abdul Razak Ahmad serta Pengurus Besar Pelancongan Pahang, Datuk Ishak Mokhtar.

Mengulas lanjut, Mohd. Sharkar berkata, ‘rock revetment’ untuk memastikan ombak besar terutama ketika musim tengkujuh tidak menjejaskan persisiran pantai daripada terus terhakis.

Beliau memaklumkan, kira-kira RM10 juta diperlukan untuk membina struktur itu sepanjang satu kilometer.

Menurutnya, terdapat 10 pantai di negeri ini dikesan mengalami hakisan pantai yang serius ketika musim tengkujuh yang melanda negeri ini baru-baru ini.

Ia di Cherating, Balok, Teluk Chempedak, Kempadang, Sepat dan Cherok Paloh di daerah Kuantan, Tanjung Batu, Pekan, Kuala Rompin dan Tanjung Gemok di Rompin serta Kampung Mukut di Pulau Tioman.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya