GEORGETOWN: Sebanyak 39 sekatan jalan raya akan diadakan di lima buah daerah di seluruh negeri ini sepanjang dua minggu tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sekatan itu akan melibatkan keanggotaan seramai 1,142 orang terdiri daripada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM); Angkatan Tentera Malaysia (ATM); Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Jelas Kon Yeow, bagi berdepan kemungkinan kes positif Covid-19 terus meningkat, kerajaan negeri telah mengenal pasti dua lokasi baharu Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Berisiko Rendah iaitu di Pusat Kecemerlangan Mara (MEC), Jawi, Seberang Perai Selatan dan Tapak Pesta Pulau Pinang, Sungai Nibong di sini.
Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri telah memohon peruntukan tambahan di bawah Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara bagi mengoperasikan kedua-dua lokasi tersebut yang masing-masing mampu menempatkan 1,000 pesakit.
“Selain itu, Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) Pulau Pinang juga telah menyatakan persetujuan untuk menjalankan saringan massa dalam kalangan pekerja mereka.
“Dalam masa sama, kira-kira 100 klinik swasta di bawah Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Pulau Pinang (PMPS) juga bersedia menawarkan khidmat suntikan vaksin Covid-19 secara percuma kepada penduduk di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Kon Yeow sekali lagi menyeru penduduk negeri ini menerima keputusan pelaksanaan PKP dan memberikan kerjasama penuh demi menjayakannya.
“Kita perlu faham bahawa PKP adalah amat diperlukan apabila terdapat penambahan kes mendadak sehingga hampir melumpuhkan sistem perubatan awam negara kini,” katanya. – UTUSAN ONLINE