60 peratus tempahan hotel di Langkawi dibatal - Utusan Malaysia

60 peratus tempahan hotel di Langkawi dibatal

Zainudin Kadir
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pengusaha hotel dan resort di Langkawi mendakwa sebanyak 60 peratus tempahan bilik dibatalkan pelancong selepas pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPKB) serta Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di seluruh negara selama 14 hari bermula esok.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir berkata, lebih memburuk, tempahan untuk sambutan Tahun Baharu Cina turut dibatalkan hampir 100 peratus.

“Pelancong tidak mahu ambil risiko apabila PKP, PKPB dan PKPP tidak pasti bila akan berakhir, jadi, tempahan untuk sambutan Tahun Baharu Cina dibatalkan.

“Saya menerima aduan daripada penggiat pelancongan di sini memang sebaik sahaja pengumuman tersebut, mereka mula menerima notis pembatalan itu daripada pelanggan.

“Malah, tidak dinafikan kebanyakan pelancong domestik di Langkawi sekarang adalah daripada enam negeri yang dikenakan PKP,” katanya di sini hari ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam memberitahu, menerusi kawalan pergerakan tersebut semua penduduk di seluruh negara tidak dibenarkan merentas negeri yang berkuat kuasa pada pukul 12.01 tengah malam ini.

Mengulas lanjut kata beliau, pihaknya menganggarkan kerugian yang ditanggung oleh penggiat pelancongan Langkawi pula adalah RM120 juta sepanjang PKP, PKPB dan PKPP ini.

“Tidak dinafikan Langkawi menjadi tumpuan sejak rentas negeri dibenarkan. Disember saja kita terima pelancong domestik seramai 256,000 orang. 

“Kesan penguatkuasaan tersebut bukan sahaja melibatkan hotel dan resort tetapi pengusaha kereta sewa, restoran, teksi malah feri,” katanya lagi.

Zainudin menambah, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan agensi dan persatuan lain termasuk Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) untuk mewujudkan pasukan khas bagi mencari jalan mengatasi kesuraman pelancongan Langkawi sepanjang PKP, PKPB dan PKPP ini.

“Kita tahu penguatkuasaan tersebut tidak dapat dielakkan demi menangani penularan Covid-19 tetapi kesejahteraan hidup penduduk Langkawi harus diberi perhatian.

“Kini kita berharap kepada pelancong Kedah sahaja untuk menampung pendapatan sepanjang tempoh tersebut dan kita berharap rentas negeri juga dibenarkan untuk penduduk Perlis datang ke sini,” katanya.

Sementara itu carian dalam jadual perjalanan feri mendapati hanya tiga perjalanan disediakan untuk esok, 13 Januari bagi dua hala iaitu 9.30 pagi dari Langkawi ke Kuala Kedah dan 11 pagi serta 4 petang dari Kuala Kedah ke Langkawi.

Tiada perjalanan feri disediakan di Kuala Perlis, Perlis di kedua-dua hala ekoran larangan rentas negeri.  -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya