BATU PAHAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Batu Pahat berjaya merampas dadah disyaki jenis syabu seberat kira-kira lapan kilogram di perairan Sungai Sarang Buaya, awal pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohamad Othman berkata, rampasan bernilai kira-kira RM400,000 itu dibuat ketika anggota penguat kuasa Maritim Malaysia melaksanakan rondaan Op Jaksa di sepanjang perairan Batu Pahat sehingga ke Muar.
Katanya, dadah berkenaan dikesan dalam sebuah tong minyak yang terapung sekitar boya Permatang Kuala yang terletak di kedudukan lebih kurang 5 batu nautika selatan Sungai Buaya.
“Sebaik anggota menghampiri boya tersebut, kelihatan satu tong minyak terapung dengan berisi bungkusan yang dibalut plastik berwarna hitam.
“Pemeriksaan lanjut mendapati, terdapat lapan peket bungkusan teh Cina berisi serbuk kristal dipercayai dadah jenis syabu dalam setiap plastik hitam tersebut yang dianggarkan seberat satu kilogram setiap satu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohamad berkata, kesemua dadah tersebut dibawa ke pejabat Zon Maritim Batu Pahat untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Beliau berkata, Maritim Malaysia memandang serius operasi penguatkuasaan di laut dan akan mengambil tindakan tegas kepada penjenayah yang melakukan aktiviti terbabit di sepanjang Zon Maritim Malaysia.
“Penemuan itu membuktikan masih terdapat penjenayah yang cuba mengaburi pihak berkuasa dengan mempelbagai taktik menyeludup terutamanya dadah di perairan selain cuba menguji kewibawaan anggota penguat kuasa dalam melaksanakan tugas.
“Masyarakat terutamanya komuniti maritim diseru untuk bersama-sama berganding bahu menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dalam memerangi jenayah maritim dan penyeludupan dadah,” katanya.
Jika terdapat sebarang aduan mengenai jenayah maritim di perairan Johor Barat, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Batu Pahat di talian hotline 07 434 4020 yang beroperasi 24 jam.-UTUSAN ONLINE