Memang ada buaya di PD - Utusan Malaysia

Memang ada buaya di PD

SEEKOR buaya yang kelihatan di tebing muara Sungai Linggi ketika tinjauan Utusan Malaysia di Tanjung Agas, Linggi, Port Dickson hari ini.-UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Tular beberapa video sejak kebelakangan ini yang memaparkan kelibat buaya yang timbul di permukaan di perairan Port Dickson termasuk berhampiran kawasan pantai menimbulkan rasa bimbang orang ramai.

Keadaan itu pastinya menjadi persoalan sama ada pantai-pantai peranginan di daerah ini selamat kepada pengunjung ataupun tidak.

Beberapa orang nelayan di Tanjung Agas, Linggi dekat sini memberitahu, memang ada buaya di perairan Port Dickson namun jelas mereka, buaya tersebut tersesat dan memasuki laut dari sungai berhampiran.

Jelas mereka, buaya-buaya itu tidak membahayakan orang ramai yang berada di pantai kerana jangka hayat buaya yang berada di laut ini tidak lama kerana haiwan itu tidak dapat hidup dalam air masin.

Seorang nelayan di Tanjung Agas, Linggi dekat sini, Zulizat Yakin,40, memberitahu, buaya kerap kelihatan dan muncul di muara Sungai Linggi kerana kekurangan sumber makanan di sungai tersebut yang memang menjadi habitatnya.

Malah hasil tinjauan Utusan Malaysia di muara Sungai Linggi semalam juga menemukan tiga ekor buaya yang muncul di tebing muara sungai tersebut.

“Setakat ini tidak ada lagi kejadian tidak diingini berlaku tetapi bimbang juga apatah lagi kawasan ini berhampiran dengan beberapa pantai peranginan.

“Buaya ini tak boleh hidup dalam air masin, kalau ia masuk ke dalam laut memang hayat tak lama. Tiada makanan untuk reptilia itu di laut dan di pantai juga berpasir jadi sukar untuk haiwan ini,” katanya.

Seorang lagi nelayan, Md. Isa Johar, 61, pula memberitahu, buaya-buaya yang muncul di perairan Port Dickson seperti yang berjaya dirakam itu merupakan buaya yang tersesat dan terpisah dari kumpulan buaya lain sama ada di Sungai Linggi ataupun Sungai Lukut.

“Jika ditemukan di perairan berhampiran Kuala Linggi, Tanjung Tuan, Telok Kemang memang asalnya dari Sungai Linggi dan jika di perairan berhampiran pekan Port Dickson mungkin buaya itu datang dari Sungai Lukut.

“Tapi buaya-buaya ini tidak boleh hidup lama, air masin mencederakan mata haiwan itu, sebab ada beberapa kejadian bangkai buaya ditemui di pantai-pantai, jadi orang ramai tidak perlu bimbang atau panik tapi harus berwaspada. Apa yang penting kita tidak perlu ganggu mereka dan buaya ini tidak akan ganggu kita,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya