55,520 pelajar SPM, STPM Johor bersekolah minggu depan  - Utusan Malaysia

55,520 pelajar SPM, STPM Johor bersekolah minggu depan 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seramai 55,520 pelajar tingkatan lima dan tingkatan enam atas yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dijangka memulakan sesi persekolahan pada 20 Januari ini di seluruh Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang berkata, jumlah itu melibatkan 49,475 calon peperiksaan SPM 2020 dan 2021, 4,857 calon STPM dan 1,188 lagi merupakan calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

“Hanya pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM, STPM dan STAM pada tahun ini dibenarkan memulakan sesi persekolahan bagi peringkat pertama susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan dikuatkuasakan di negeri ini.

“Bagaimanapun sekiranya terdapat sebarang perubahan, ia akan diumumkan oleh kerajaan pusat,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Penyampaian Bantuan Covid-19 kepada seramai 300 pemandu teksi di bandar raya ini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Eksekutif Yayasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Juraidah Hassan.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan enam buah negeri akan dikenakan PKP selama dua minggu bermula esok dengan Johor merupakan antara negeri yang terlibat.

Tambah Mazlan lagi, bagi pelajar dan murid lain, sesi persekolahan akan ditentukan mengikut arahan Kementerian Pendidikan bergantung kepada keadaan semasa melibatkan pandemik Covid-19 dan banjir.

Sementara itu, beliau turut memberitahu sekolah yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) untuk menempatkan mangsa banjir tidak akan menjejaskan persediaan pembukaan sesi persekolahan tidak lama lagi.

“Banjir ini dijangka akan reda dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi dan tidak akan menghalang pembukaan sekolah kepada pelajar terlibat.

“Namun, sekiranya banjir masih melanda semasa sesi sekolah dibuka, Jabatan Pendidikan Negeri Johor sudah mempunyai perancangan lain untuk memastikan sesi persekolahan lancar dan tidak terganggu.

“Kita sudah membuat persediaan secukupnya berkenaan situasi banjir. Apa yang lebih dibimbangi ialah pandemik Covid-19 kerana kita tidak tahu bila ia akan berakhir,” jelasnya.

Berdasarkan statistik, terdapat seramai 575,144 pelajar dan murid; 48,944 guru dan 7,122 anggota perkhidmatan awam di 1,189 buah sekolah di seluruh negeri ini. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya